Motivasi Ducati melonjak tinggi

112

PELUMBA MotoGP Ducati, Andrea Dovizioso tidak pernah berada di podium Grand Prix (GP) Amerika Syarikat sejak 2015.

Namun, prestasinya cemerlangnya di Argentina sebelum ini memberi keyakinan tinggi kepada Ducati untuk menyambar podium dalam tiga perlumbaan awal musim ini.

Kemenangan Dovizioso pada GP Qatar dan kemudiannya menduduki tempat ketiga GP Argentina memberi motivasi tambahan untuk menakluk Circuit of the Americas (COTA), Austin hujung minggu ini.

Dovizioso kini hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Marc Marquez yang muncul sebagai satu-satunya pelumba mendominasi GP Amerika Syarikat sejak enam musim lalu.

“Cara kami bekerja pada perlumbaan di Argentina (sebelum ini) menjadi satu permulaan yang cukup baik untuk kami mengharungi saingan di Austin.

“Walaupun litar (COTA) tidak begitu sesuai dengan kami (tetapi) saya masih tetap yakin jika kami mampu memperbaiki catatan pada setiap sesi (latihan dan kelayakan) seperti di Termas de Rio Hondo, kami mampu memperoleh keputusan positif.

“Sasaran kami di Austin adalah untuk sekali lagi menjejakkan kaki di podium. Namun, kami harus mengetahui selok-belok litar itu sebelum membuat sebarang ramalan.

“Kami sedar setiap perlumbaan mempunyai cerita berbeza, jadi kami harus positif dan fokus selain terus bekerja keras bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata Dovizioso.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Danilo Petrucci optimis mampu berada di podium GP Amerika Syarikat selepas sekadar menduduki tempat keenam GP Qatar dan GP Argentina.

“Saya jangka potensi kami di Austin kali ini lebih tinggi berbanding musim-musim sebelum ini walaupun COTA dianggap antara litar yang cukup sukar dan teknikal.

“Bagaimanapun, selepas melihat kejayaan kami di Argentina (Termas de Rio Hondo) yang turut dianggap antara litar mencabar, saya percaya kami mampu membuktikan sesuatu di COTA.

“Saya mahu menggunakan setiap kelebihan yang ada pada perlumbaan kali ini. Kami harus bekerja keras untuk sekali lagi berada dalam kedudukan lima teratas,” ujarnya.

Komen anda