Moto2, Moto3 ikut format MotoGP

417

MUSIM 2019 menyaksikan perubahan dalam sesi kelayakan Moto2 dan moto3 yang mana kedua-duanya akan mula mengikut format MotoGP.

Sebelum ini, sesi kelayakan Moto2 dan Moto3 menggunakan format tradisional yang mana semua pelumba akan bersaing dalam satu sesi dengan Moto2 dijadual selama 45 minit dan Moto3 selama 40 minit.

Namun, format tersebut dikatakan sudah tidak relevan apabila ramai pelumba mula menunjukkan kelicikan dengan sengaja melambatkan motosikal bagi menghalang pesaing mereka sehingga ramai yang dikenakan penalti.

Oleh sebab sistem kelayakan lama ini dilihat sudah tidak kompetitif, Federasi Motosikal Antarabangsa (FIM) memutuskan untuk menggantikannya mengikut format MotoGP yang mana setiap pusingan kelayakan akan dibahagi menjadi dua sesi Q1 dan Q2.

Format ini berfungsi dengan 10 pelumba yang mencatat catatan masa terbaik keseluruhan di tiga sesi latihan bebas layak untuk berada di sesi kelayakan Q2 bagi merebut 12 petak teratas di perlumbaan sebenar.

Manakala, baki pelumba lain akan bersaing di Q1 untuk merebut petak yang lebih belakang. Kedua-dua sesi hanya berlangsung selama 15 minit.

“Diharapkan format baharu ini akan menghiburkan peminat-peminat dan pada masa sama ia juga diharap dapat memberi ilmu dan panduan berguna buat pelumba-pelumba muda memahami sistem kelayakan yang digunakan di kelas premier,” kata kenyataan rasmi FIM.

Bagaimanapun, bagi Moto2 dan Moto3 nanti, tempoh masa dan formatnya akan sedikit berbeza kerana ia akan bergantung kepada berapa ramai jumlah pelumba yang bersaing.

Difahamkan, 14 pelumba teratas dari tiga catatan masa sesi latihan bebas akan masuk ke Q2 dan selebihnya akan beraksi dahulu di Q1. Empat pelumba teratas di Q1 kemudiannya akan masuk ke Q2 untuk bersaing merebut posisi enam petak di hadapan pada perlumbaan sebenar.

Komen anda