MotoGP: Bos Ducati hentam Honda

985

 

PENGURUS Besar Ducati, Gigi Dall’Igna menempelak tuduhan mengaitkan pasukannya menggunakan ‘taktik kotor’ pada perlumbaan pembuka tirai MotoGP di Litar Losail, Qatar.

 

Perlumbaan yang dimenangi pelumba Ducati, Andrea Dovizioso itu dicemari protes daripada empat pasukan lain iaitu, Honda, KTM, Suzuki dan Aprilia yang mendedahkan penggunaan alat khas dipanggil ‘swingarm’ pada jentera syarikat itu tidak sah dan melanggar peraturan.

 

Dall’Igna bagaimanapun mempertahankan penggunaan alat itu yang disifatkan tidak melanggar sebarang peraturan perlumbaan.

 

Beliau turut menghentam protes secara terbuka yang dilakukan empat pasukan terbabit kerana menurutnya, perkara itu boleh dibincangkan secara dalaman bersama Persatuan Pengeluar Motosikal MotoGP (MSMA).

 

“Bila berlakunya sebarang masalah yang perlu dianalisa, mereka sepatutnya datang berjumpa kami atau perlu melalui MSMA. Bagi kami, prosedur itu masih sama dan perlu dilalui.

 

“Jika kami, dalam situasi mereka, kami akan terus berjumpa dan berbincang dalam MSMA, seperti yang pernah berlaku dahulu,” katanya kepada MotoGP.com.

 

Pada masa sama, Dall’Igna turut mempersoal niat pasukan terbabit, terutamanya Honda yang seolah-olah cuba mengubah peraturan sedia ada yang sudah lama dipraktikkan.

 

“Jelas sekali empat pengeluar ini cuba untuk mengubah pendekatan yang sepatutnya digunakan. Paling mengejutkan bagi kami dalam empat pasukan ini ialah Honda.

 

“Honda bersama kami dan Yamaha merupakan antara ‘bapa’ kepada kejohanan ini. Tetapi kali ini mereka cuba mengubah peraturan dan mencabar federasi,” katanya lagi.

 

Difahamkan, keputusan rayuan empat pasukan terbabit mengenai isu ini akan diketahui sebelum perlumbaan GP Argentina minggu depan.

Komen anda