MotoGP: Dovizioso tawan Litar Antarabangsa Losail

95

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso memberi amaran awal kepada barisan pencabarnya dalam saingan MotoGP musim ini apabila menjuarai Grand Prix (GP) Qatar awal pagi semalam.

Lebih manis, Dovizioso sekali lagi berjaya menawan Litar Antarabangsa Losail bagi musim kedua berturut-turut selepas dia turut muncul juara GP Qatar 2018.

Dovizioso juga sudah pasti boleh berbangga apabila berjaya menyekat hasrat penyandang juara dunia, Marc Marquez yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Bermula di petak kedua, Dovizioso berjaya memintas pelumba Yamaha, Maverick Vinales untuk mendahului perlumbaan pada selekoh pertama.

Marquez juga bermula dengan baik sehingga menyaksikan kedua-dua pelumba itu saling mengejar rapat di barisan hadapan dengan pelumba sensasi Repsol Honda itu mendahului perlumbaan sepanjang 20 pusingan.

Namun, ketika saingan memasuki pusingan terakhir, Dovizioso ternyata lebih unggul untuk memintas Marquez. Dia merekodkan catatan masa keseluruhan 42 minit 36.902 saat (s) – 0.023s lebih pantas di depan pelumba Sepanyol tersebut.

Situasi itu dilihat seperti mengulangi saingan hebat antara mereka di litar sama tahun lalu yang menyaksikan Dovizioso mengatasi Marquez dengan perbezaan masa 0.027s.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana apa yang berlaku sebelum hujung minggu ini sangat teruk. Terus terang saya katakan saya tidak jangka mampu raih kemenangan.

“Sudah pasti ia cukup menakjubkan untuk mengakhiri perlumbaan seperti ini apabila berdepan dengan juara dunia (Marquez).

“Saya harap kemenangan ini akan melonjakkan lagi semangat kami untuk mengharungi perlumbaan akan datang seterusnya menjadi antara pencabar utama kejuaraan dunia,” kata Dovizioso.

Sementara itu, Marquez tetap berpuas hati dengan keputusan menduduki tempat kedua, sekali gus membolehkannya mengutip 20 mata – lima mata di belakang Dovizioso.

“Ia seakan-akan sama seperti apa yang berlaku pada perlumbaan tahun lalu. Saya cuba menamatkan perlumbaan di tempat pertama tetapi Andrea lebih pantas.

“Apa-apa pun saya tetap gembira kerana masih mampu mengumpul 20 mata pada perlumbaan pertama musim ini,” jelasnya.

Pelumba Britain, Cal Crutchlow yang menunggang jentera Honda pula mengakhiri saingan kelas utama itu di tempat ketiga apabila ketinggalan 0.320s di belakang Dovizioso.

Komen anda