MPFL 2019: Pahang Rangers tetap merendah diri

139
Foto: FB Pahang Rangers FC

Foto: FB Pahang Rangers FC

KAPTEN futsal Pahang Rangers, Akmarulnizam Idris menolak tanggapan segelintir pihak yang meramalkan pasukan berkenaan menjadi pilihan utama untuk mengungguli edisi sulung Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2019 yang akan membuka tirai pada 22 Jun ini.

Akmarulnizam melihat kehadiran 10 pemain kebangsaan termasuk kapten skuad kebangsaan, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin menyuntik semangat rakan sepasukan lain untuk memberi persembahan terbaik pada kali ini, namun mengingatkan mereka untuk tidak mendabik dada.

“Kita ada sebuah skuad yang mantap dan kuat, tetapi ia tidak membawa sebarang makna jika kita gagal menterjemahkan kekuatan itu di atas gelanggang. Paling penting, kita perlu bermain sebagai satu pasukan.

“Sasaran kita adalah muncul juara, tetapi kita tidak boleh dibuai keyakinan tinggi hanya sebab kita ada nama-nama besar dalam skuad, apatah lagi semua pasukan melakukan persiapan rapi dan kita jangan pandang cabaran mereka sebelah mata,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pasukan berkenaan hari ini.

Akmarulnizam yang membantu skuad negara memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 turut mendedahkan pasukan seperti Perak dan Selangor perlu diberi tumpuan walaupun ketiadaan ramai pemain kebangsaan.

“Kita kena bermain pada potensi penuh, dan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Peringatan saya kepada diri sendiri dan rakan sepasukan, jangan selesa dengan ramalan di atas kertas,”jelasnya.

Pahang Rangers dijadual membuka tirai MPFL 2019 dengan menentang Kuala Lumpur pada 22 Jun di Stadium Tertutup Panasonic Shah Alam.

Sebanyak 13 pasukan termasuk empat pasukan wanita telah mengesahkan penyertaan pada edisi sulung MPFL kali ini.

Kejohanan liga selama tiga bulan itu dengan menggunakan format timbal balik, dengan juara bakal membawa pulang RM100,000 manakala naib juara meraih RM50,000.

Komen anda