MSN ada calon lain

518
Ahmad Shapawi

Tindakan Bartlomiej Kizierowski yang menolak tawaran membimbing skuad renang negara tidak mendatangkan masalah buat Majlis Sukan Negara (MSN) memandangkan terdapat beberapa calon yang sesuai bagi menggalas jawatan tersebut.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, MSN tiada masalah seandainya Kizierowski tidak mahu menjadi jurulatih skuad renang negara dan menghormati pendiriannya.

“Kita tidak ralat dengan keputusannya, kami ada calon lain yang diketepikan sebelum ini selepas memilih Kizierowski, ada beberapa calon antaranya dari China dan beberapa negara lain.

“Pemilihan jurulatih ini sebenarnya kami sasarkan sebagai jurulatih dan juga pengarah teknikal yang boleh memberikan cadangan dan pandangan, memang ini hasrat MSN. Kami akan tengok kembali selain mendapat pandangan daripada Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum),” jelasnya.

Minggu lalu, Asum telah mengumumkan Kizierowski selaku jurulatih skuad renang negara dan bakal tiba di Malaysia selepas sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan. Namun, jurulatih yang berpengalaman melatih skuad renang Sepanyol itu membuat keputusan menolak jawatan tersebut atas alasan polisi Malaysia berhubung larangan atlet Israel memasuki negara ini.

Kizierowski, 41, pernah beraksi pada empat temasya Sukan Olimpik berturut-turut bermula daripada edisi 1996 sebelum menukar kariernya dalam bidang kejurulatihan dan berkhidmat di Sepanyol. Beliau kemudiannya ditawarkan jawatan selaku jurulatih skuad renang negara bagi menggantikan Paul Birmingham yang meletak jawatan tahun lalu.

Komen anda