Nadal nafi mahu bersara

95
Reaksi Nadal selepas menjuarai Terbuka Perancis hujung minggu lalu.

JUARA Terbuka Perancis 2019, Rafael Nadal menegaskan beliau tidak pernah memikirkan tentang persaraan sepanjang musim ini.

Jelasnya, meskipun pada awal musim beliau bergelut dengan pelbagai kecederaan, namun itu tidak pernah mematahkan semangatnya apatah lagi memikirkan untuk meninggalkan gelanggang tenis.

Nadal dalam satu wawancara khas bersama ATP bagaimanapun mengakui ketika mengalami kecederaan di kejohanan Indian Wells Mac lalu, beliau hampir memutuskan untuk menamatkan musim ini lebih awal tanpa beraksi dalam mana-mana kejohanan dan memilih untuk kembali pada tahun hadapan.

"Saya hampir untuk tidak kembali musim ini. Kecederaan yang saya alami kali ini cukup berbeza yang mana fikiran saya serang menganggap ia sebagai satu penderitaan.

"Saya benci apabila berada dalam kesakitan. Mujurlah tidak lama selepas itu, mental saya kembali pulih dan dapat kembali lebih kuat seperti hari ini," katanya.

Menjelang bermulanya kejohanan di gelanggang rumput sedikit masa lagi, Nadal yang lebih meminati gelanggang tanah liat bagaimanapun tetap yakin dengan kemampuan dirinya dan berusaha untuk meneruskan rentak kemenangannya bagi kembali merampas kedudukan nombor satu dunia.

"Ya, gelanggang rumput tidak sama seperti gelanggang tanah liat yang saya sukai. Tetapi saya yakin bahawa saya mampu meneruskan kecemerlangan sebelum ini untuk kejohanan di gelanggang rumput yang akan bermula sedikit masa lagi.

"Saya juga mengidamkan kejayaan di Wimbledon selepas gagal ke final apabila tewas di tangan Djokovic (Novak) tahun lalu," katanya lagi.

Komen anda