Nasihat buat Aaron-Wooi Yik

953

ZURAIMEE ZAINAL

Pencapaian beregu muda lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul naib juara kejohanan badminton Seluruh England 2019 tetap dianggap satu kejayaan yang membanggakan.

Menurut bekas jaguh beregu badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, pencapaian mereka mara ke final Seluruh England kali ini seharusnya menjadi titik tolak kebangkitan pasangan berkenaan untuk tampil lebih kompetitif dan berdaya saing pada kejohanan lebih besar akan datang.

“Bagi pasangan muda seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke final Seluruh England adalah sesuatu yang kita semua boleh banggakan pada ketika kita tidak meletakkan sebarang harapan kepada mereka, apatah lagi sasaran kejohanan ini untuk mereka adalah mara ke suku akhir.

“Bagi saya dari segi ketangkasan permainan, kedua-dua pemain itu sudah bagus, cuma taktikal perlu diperbaiki serta diperkemaskan lagi supaya lebih mantap.

“Mereka juga kena lebih banyak berlatih dan pada masa sama, didedahkan dengan pertandingan berprofil tinggi. Ini penting supaya mereka dapat mempertingkat pengalaman seterusnya mematangkan permainan,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar semalam.

Mengulas lanjut, Razif berkata, kedua-dua pemain negara itu memiliki kekuatan mental yang tinggi sebagaimana dibuktikan mereka ketika menundukkan beberapa nama besar termasuk bekas juara dunia dari China, Liu Cheng-Zhang Nan selain pilihan kelima dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam laluan mara ke final Seluruh England 2019.

“Aaron dan Wooi Yik memiliki karakter yang kuat apabila berdepan lawan yang memiliki nama besar dalam arena badminton, itu satu petanda positif kekuatan karakter mereka berdua apabila berdepan lawan di gelanggang,” ujarnya.

Razif dan abangnya, Datuk Seri Jalani Sidek sebelum ini pernah muncul juara acara beregu Seluruh England pada edisi 1982.

Pada aksi final di Arena Birmingham kelmarin, Aaron dan Wooi Yik terpaksa akur dengan taktikal serta pengalaman gandingan Indonesia, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan apabila tewas dalam pertarungan tiga set 21-11, 14-21, 12-21.

Biarpun dilihat bermula garang apabila mudah menang di set pertama, ternyata pengalaman dan taktikal lawan menjadi pemisah buat Aaron dan Woi Yik apabila tumbang dalam pertembungan yang memakan masa selama 48 minit itu.

Keputusan itu menyaksikan Aaron dan Wooi Yik gagal mengulangi pencapaian gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang muncul juara acara beregu lelaki Seluruh England 2007.

Komen anda