Negeri Sembilan dapat tonik tambahan

33

KEJAYAAN meraih tiga mata menewaskan Selangor United perlu dijadikan suntikan motivasi pemain Negeri Sembilan untuk terus bersaing merebut slot Liga Super musim depan.

Pengendalinya, Mat Zan Mat Aris berkata, walaupun bakal mengharungi lima lagi baki perlawanan yang dilihat agak sengit, tiga mata yang diraih itu sekurang-kurangnya memberikan keyakinan dan semangat buat mereka untuk terus berjuang.

“Kemenangan ini begitu penting buat pasukan, sebelum ini kita bermain baik namun terpaksa akur dengan kekalahan tetapi tiga mata menewaskan Selangor United amatlah berharga.

“Lepas ini kami bakal berdepan dengan pasukan yang turut memburu impian menempatkan diri dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Paroi itu, tuan rumah meraih tiga mata penuh selepas menumpaskan Selangor United, 3-0 hasil jaringan Shunsuke Natatake minit ke 14, Amir (minit 71) dan Igor Luiz (minit 90).

Mengulas persembahan pemainnya, Mat Zan mengakui ulangkaji awal mengenai corak permainan lawan memberikan kelebihan buatnya mengatur gerakan dan taktikal permainan.

“Kami telah mengkaji corak permainan lawan melalui rakan video sebelum ini jadi dari situ kita boleh melihat kemampuan dan corak permainan yang bakal dijelmakan.

“Alhamdulillah segala perancangan menjadi kenyataan walaupun pada babak pertama kita lihat pemain sedikit kelam kabut dan tertekan namun semuanya mampu diatasi untuk memastikan tiga mata penuh,” tegasnya.

Komen anda