Negeri Sembilan jelaskan gaji pemainnya setiap bulan – Aminuddin

30

PENASIHAT Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan PBNS menghadapi masalah menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain pasukan bola sepak negeri itu.

Aminuddin yang juga Menteri Besar menyangkal dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail semalam dengan berkata ia tidak benar sama sekali.

“Kalau mengikut laporan yang saya terima, PBNS menjelaskan gaji pemainnya setiap bulan dan tiada yang tertunggak. Cuma bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ada tertunggak beberapa bulan, tetapi itu pun kami sedang uruskan. Bayaran KWSP yang tertunggak itu, kami akan jelaskan dalam sedikit hari lagi…tiada masalah.

“Setakat ini bayaran gaji bulanan pemain tiada masalah…kami bayar, cuma KWSP ada tertunggak,” katanya di sini, pada 5 Ogos lalu

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Izham semalam yang mendedahkan beberapa pasukan bola sepak dalam negara masih mempunyai tunggakan gaji pemain sehingga mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.

Antara pasukan itu ialah Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi skuad Rusa yang tewas 1-3 dengan Kedah pada perlawanan pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman di sini, Sabtu lepas, beliau berkata secara keseluruhannya prestasi pasukan adalah baik cuma tidak bernasib baik untuk menang ataupun seri.

“Kita semua sedia maklum bahawa Kedah adalah juara Piala FA baru-baru ini, namun pemain kami memberi tentangan yang baik. Pemain banyak menyerang, namun percubaan mereka banyak yang tersasar atau digagalkan oleh pertahanan lawan.

Mengenai perancangan musim depan, Aminuddin berkata walaupun terlalu awal untuk diperkatakan tetapi PBNS akan menetapkan penanda aras bagi setiap pemain.

“Pada tahun ini, kami tidak meletakkan apa-apa matlamat (sasaran) kerana pemain sedia ada kebanyakannya pemain muda yang kurang berpengalaman. Saya yakin pemain muda ini akan matang pada musim depan dan skuad Rusa akan menjadi satu daripada pasukan yang dihormati…insya-Allah,” katanya.

Mengenai tindakan PBNS merehatkan ketua jurulatih Mohd Zan Mat Aris, beliau berkata itu adalah budi bicara pengurusan PBNS.

“Mungkin keputusan itu adalah keputusan terbaik yang telah difikirkan oleh pengurusan PBNS setelah mengambil kira beberapa faktor. Saya sebagai penasihat PBNS telah dimaklumkan dan saya akur dengan apa yang dilakukan oleh pihak pengurusan PBNS demi kebaikan pasukan,” katanya.

Komen anda