NHDP libatkan semua negeri tahun depan – Subahan

139
Foto: FB Malaysian Hockey Confederation

PROGRAM Pembangunan Hoki Negara (NHDP) bakal dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan semua negeri bermula Januari tahun depan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, NHDP bakal melibatkan pemain muda di bawah umur 12, 14 dan 16 tahun selain barisan guru terpilih di sekolah dan jurulatih di semua negeri yang akan diberi tunjuk ajar mengenai DNA hoki yang perlu diterapkan kepada pemain pelapis negara.

“Kita telah berbincang dengan beberapa pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai pelaksanaan program itu. Pelan terperinci mengenai pelaksanaan program itu dijangka akan diumumkan Oktober ini. Program ini dijangka dilaksanakan tahun depan untuk tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Klinik Hoki Pembangunan MHC yang berlangsung di Bukit Jalil, Ahad, yang turut disertai lebih 40 pemain terpilih dari seluruh negera melibatkan usia 13 tahun ke bawah.

Dilihat seakan mirip Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Subahan bagaimanapun berkata NHDP tidak akan mempunyai akademi bola sepak seperti NFDP yang terletak di Gambang, Pahang.

“Buat masa ni kita inginkan budak-budak ini datang belajar, diajar kemudian mereka balik ke rumah. Tapi kita akan kumpulkan mereka mungkin dalam dua bulan sekali, tiga bulan sekali. Jika ada pemain kita nampak ada bakat menyerlah, kita akan kumpulkan mereka dalam satu pemukiman di mana kita akan bagi pendedahan sewajarnya,” tambahnya.

Komen anda