Nicol kandas pusingan ketiga

398

RATU Skuasy negara, Datuk Nicol David gagal mengesahkan slot ke suku akhir di Kejohanan Juara-Juara 2019 apabila tunduk kepada pemain pilihan keempat dunia, Joel King dari New Zealand dalam aksi pusingan ketiga di Grand Central Terminal, New York kelmarin.

Pada pertemuan itu, Nicol yang juga pemenang musim 2014 terpaksa akur dengan kekalahan itu dengan keputusan 1-3 apabila King mempamerkan aksi konsisten sebaik perlawanan bermula dengan kemenangan di set pertama 11- 4 sebelum bekas juara dunia negara bangkit untuk menyamakan kedudukan di set kedua menerusi kemenangan 11-8.

Begitupun King kembali mencipta kebangkitan pada set ketiga dengan 11-4 sebelum mengesahkan slot ke suku akhir menerusi kemenangan 11-8 di set keempat sekali gus mencipta kejayaan pertama menewaskan Nicol dalam 11 pertemuan sebelum ini termasuk tewas pada keempat-empat perlawanan di pusingan kedua pada saingan sama musim lalu.

Terdahulu Nicol yang mendapat ‘bye’ pada saingan pembukaan mudah menewaskan juara remaja dunia, Rowan Elaraby dari Mesir; 11-9, 11-7 dan 13-11 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung kira-kira 33 minit.

Dua lagi wakil negara turut berdepan nasib yang sama apabila juara kebangsaan, S Sivasangari terkandas di pusingan kedua setelah tumpas kepada pemain pilihan ke-15 , Salma Hany dari Mesir dengan kekalahan 8-11, 8-11 dan 6-11 selepas cemerlang menumpaskan pemain England, Fiona Moverley 11-2, 11-7 dan 11-8 pada pusingan pertama.

Manakala seorang lagi wakil negara, Low Wee Wern tersingkir awal selepas tumpas 4-11, 5-11, 11-5 dan 6-11 kepada pemain pilihan keenam, Nouran Gohar dari Mesir pada aksi pembukaan.

Komen anda