Nidzam Jamil ada ‘sifir’ tersendiri bagaimana untuk selamatkan Felda United

126
Mohd Nidzam mahu anak buahnya mencuri sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi menentang Selangor di Jengka, malam ini.

PENGENDALI Felda United, Mohd Nidzam Jamil sudah melakukan kira-kira bagaimana untuk mengelakkan skuad kendaliannya daripada tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Mohd Nidzam berkata, jalan terakhir buat The Fighters yang kini berada di tangga tercorot Liga Super ialah wajib mendapatkan sekurang-kurangnya tujuh mata dalam baki lima perlawanan terakhir jika mahu keluar dari zon penyingkiran.

Jelasnya, meskipun peluang mereka masih tampak samar, namun beliau tetap optimis usaha keras yang dilakukan menghampiri penghujung musim ini mampu memberikan hasil positif.

"Secara matematiknya, kita perlukan sekurang-kurangnya tujuh mata. Itu sahaja cara yang mungkin dapat menyelamatkan kami dalam baki lima perlawanan lagi.

"Saya tahu, ia bukan mudah dan saya juga tidak boleh menjanjikan apa-apa. Tetapi kami perlu berfikiran positif dan pemain juga perlu mengubah mentaliti untuk berjuang habis-habisan tatkala menghampiri penghujung musim ini," katanya.

Felda United yang kini berada di dasar liga masih berpeluang cerah untuk keluar dari zon bahaya memandangkan hanya dipisahkan beberapa mata sahaja dengan Kuala Lumpur dan PKNP FC yang berada di tangga ke-10 dan ke-11.

Justeru, menjelang aksi bertemu Selangor di Jengka Jengka malam esok, Mohd Nidzam mencabar anak buahnya agar mempamerkan semangat juang tinggi dan cuba untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata sebagai bekalan berharga mereka dalam misi kekal di Liga Super.

"Ya, kita pernah tewaskan Selangor di Piala FA sebelum ini dan itu mungkin boleh jadi motivasi terbesar kami untuk aksi malam esok (ini). Tetapi kita sedar Selangor masih pasukan yang lebih baik untuk menang.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh lagi keciciran mata dalam situasi suntuk ini. Saya tidak mahu beri tekanan tetapi saya mengharapkan jika tidak mata maksimum sekalipun, sekurang-kurangnya satu mata mampu kami raih dalam aksi sukar ini," katanya.

Komen anda