Norza sedia tinggalkan BAM tahun depan

110
NORZA.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi bayangan akan meninggalkan jawatannya sebagai orang nombor satu badan induk badminton negara itu selepas tamat Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah memikirkan banyak faktor termasuk mengenai tugasnya selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Saya memang merancang untuk tinggalkan BAM sebab saya sudah menjadi Presiden MOM. Kemungkinan besar (akan tinggalkan BAM) selepas Olimpik Tokyo 2020.

"Hari ini saya dapat lihat kita sudah mempunyai pemain-pemain muda berbakat selain akademi kita juga sudah siap. Jadi, selepas melihat proses-proses itu, mungkin lagi satu atau dua tahun saya akan berikan jawatan ini kepada orang lain dan memberi fokus kepada MOM," katanya.

Dalam pada itu, Norza turut mengesahkan dirinya akan bertanding jawatan Presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC) bagi penggal 2019-2023 pada pemilihan akan berlangsung di Nanning, China, 25 Mei ini.

Jelasnya, keputusan untuk bertanding jawatan itu dibuat atas beberapa faktor, antaranya untuk membangunkan lagi sukan badminton di benua Asia terutama bagi negara-negara kecil badminton yang berhasrat untuk berkembang menjadi lebih baik di masa akan datang.

"Saya menawarkan diri atas beberapa sebab. yang pertama beberapa buah negara kuasa besar badminton meminta saya menjadi presiden memandangkan ibu pejabat BAC ialah di Malaysia. Jadi, mereka mahu individu dari Malaysia memimpin konfederasi itu.

"Yang kedua, saya memikirkan dengan kewujudan akademi baharu badminton malaysia pada hari ini yang mana saya beranggapan ia antara yang terbaik di dunia. jadi, kita boleh menawarkan fasiliti-fasiliti kita bukan sahaja untuk negara-negara besar, tetapi juga negara-negara kecil badminton , contohnya di Asia Barat dan Asia Tengah yang berminat untuk membawa sukan ini ke peringkat yang lebih tinggi.

"Walaupun saya sedar saya akan pergi (bertanding) sebagai 'underdog', tetapi saya yakin masih ada masa lagi untuk saya memperkenalkan diri dan memberitahu 43 negara di bawah BAC mengapa Malaysia ambil keputusan untuk bertanding jawatan presiden.

"Saya yakin sebagai individu yang bermula dari peringkat akar umbi, saya mampu membangunkan sukan badminton ini ke satu tahap yang lebih tinggi di Asia, selain membangunkan negara-negara kecil untuk membantu mereka mengembangkan sukan ini di negara masing-masing. Sebab itu saya memilih untuk bertanding jawatan ini," katanya.

Tambah Mohamad Norza, jawatan Presiden BAC juga merupakan pengenalan untuknya pergi ke peringkat antarabangsa memandangkan beliau juga memimpin MOM.

Komen anda