Norza undur diri, Chin Chai ambil alih

989
Norza mengambil keputusan melepaskan jawatannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM. - Bernama
Norza mengambil keputusan melepaskan jawatannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM. – Bernama

DATUK Seri Mohamad Norza Zakaria mengambil keputusan melepaskan jawatannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) susulan prestasi buruk pada Piala Thomas dan Piala Uber di Bangkok, bulan lalu.

Norza berkata, selain bertanggungjawab dengan kegagalan skuad badminton negara, keputusan itu juga dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada Akademi Badminton Malaysia (ABM) serta mencari penajaan baharu untuk persatuan tersebut

Jelasnya, sebagai pengganti, Datuk Ng Chin Chai yang juga Setiausaha Agung BAM akan mengambil alih jawatan itu berkuat kuasa, esok.

“Saya perlu bertanggungjawab atas kegagalan skuad Piala Thomas dan Piala Uber.

“Lagipun, saya sudah menjadi Pengerusi C&T sejak tiga tahun lalu, jadi adalah baik saya melepaskan jawatan ini kerana banyak lagi isu yang perlu diberi perhatian khususnya membabitkan pembaharuan dalam akademi dan membawa penaja baharu untuk BAM,” katanya hari ini.

Mengulas pemilihan Chin Chai sebagai pengerusi C&T yang baharu, Norza yakin Chin Chai sebagai seorang yang pengalaman dalam mengurus jawatankuasa itu sebelum ini mampu meningkatkan prestasi skuad negara secara menyeluruh.

“Chin Chai adalah pengerusi baharu namun saya masih presiden. Saya sudah katakan kepadanya beliau perlu terus menggunakan pendekatan yang tegas dalam mengendalikan C&T dan mendekati jurulatih serta pemain.

“Saya doakan yang terbaik untuknya. Saya tahu beliau layak kerana berpengalaman mengendalikan C&T sebelum ini,” katanya lagi.

 

Komen anda