Nuri seorang ‘gentleman’: Sathianathan

270
FOTO: FA SELANGOR

KETUA Jurulatih Selangor, B Sathianathan menyifatkan Nurridzuan Abu Hassan seorang pemain gentleman selepas membuat permohonan maaf secara terbuka susulan tindakannya mengacukan jari tengah kepada penyokong Perak.

Jelas Sathianathan, tindakan itu sangat terpuji, namun beliau tetap mengingatkan pemain tengahnya itu lebih berhati-hati dan menjadikan insiden itu sebagai satu iktibar.

“Memang sangat bagus kerana dia memohon maaf dan mengakui kesilapannya. Itu memang cara seorang yang gentleman.

“Apapun, saya berharap dia dapat menjadikan apa yang berlaku sebagai satu pengajaran dan tidak mengulanginya pada masa depan,” katanya.

Pada perlawanan di antara Selangor dan Perak di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu, kontroversi tercetus apabila Nuri menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong ketika berjalan keluar dari padang.

Insiden tersebut berlaku tatkala Nuri menerima layangan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-57 kerana menolak pemain import Perak, Wander Luiz.

Insiden tersebut mula menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas gambarnya ketika menunjukkan isyarat itu tersebar di media sosial. Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga sedang menyiasat insiden itu.

Nuri bagaimanapun telah memohon maaf dan menjelaskan perkara itu terjadi kerana tidak tahan mendengar ejekan penyokong Perak kepadanya.

Komen anda