OKS intai kelayakan automatik ke Bangkok

340
Datuk Ong Kim Swee (tengah) menerima buku daripada bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi (kiri) pada Majlis Pelancaran Buku ‘Daphne Boudeville The Icon’ di Wisma OCM hari ini. Hadir sama Naib Presiden MOM Datuk Paduka Mumtaz Jaafar (kanan). – FOTO: Bernama.
PENGENDALI skuad bola sepak bawah-23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu mengambil risiko, sebaliknya mahu meraih kelayakan secara automatik ke Piala AFC B-23 2020 di Bangkok, Thailand.

Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah Kumpulan J pusingan kelayakan kejohanan tersebut bermula 22 hingga 26 Mac ini, perlu muncul juara kumpulan dengan mengatasi China, Filipina dan Laos untuk meraih slot automatik ke kejohanan di Bangkok itu, yang bakal menjadi saingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pengendali berusia 48 itu jelas tidak mahu mengambil risiko kerana 11 pasukan yang berada di kedudukan teratas kumpulan akan layak secara automatik, manakala empat lagi slot akan diisi pasukan terbaik di kedudukan kedua.

“Sudah tentu China pasukan pilihan tetapi kita mempunyai kelebihan, namun kita tidak boleh memandang rendah Filipina dan Laos. Kita harus memikirkan untuk layak secara automatik kerana jika kita menduduki tangga kedua kita perlu menunggu keputusan kumpulan-kumpulan lain untuk mengetahui sama ada kita layak atau tidak.

“Jadi kita harus meraih kemenangan dalam dua aksi pertama menentang Filipina (22 Mac) serta Laos (24 Mac) dan harus mendapatkan mata apabila bermain dengan China (26 Mac),” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran buku mengenai bekas jaguh sukan negara, Daphne Boudville di Wisma OCM, hari ini.

Sementara itu, Kim Swee dijangka membuat beberapa pertukaran pada barisan pemainnya berbanding skuad yang tersingkir awal pada Piala B-22 AFF di Kemboja baru-baru ini, dengan kehadiran beberapa pemain terbaik negara.

“Sudah tentu akan ada sedikit perubahan terutamanya dengan kemasukan beberapa pemain yang sebelum ini tidak bersama kita. Ia akan beri banyak perkembangan yang cukup positif untuk mula kempen kelayakan itu.

“Perkara ini juga memberi kita banyak kelebihan, terutamanya kekuatan di bahagian tertentu…pastinya ia akan memberi banyak kelebihan kepada pemilihan pemain jika berlakunya masalah kecederaan kerana kita mempunyai peluang yang baik apabila bermain dengan pasukan-pasukan tertentu,” katanya.

Safawi Rashid, Akhyar Rashid, Syazwan Andik Ishak, Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba dan Syahmi Safari adalah antara pemain dijangka memperkuatkan skuad kali ini, apabila ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersetuju untuk tidak memanggil pemain skuad B-23 ke skuad kebangsaan untuk saingan Piala Airmarine bermula 20 hingga 23 Mac ini.

Kim Swee turut mengakui beraksi di laman sendiri sudah pasti akan memberi kelebihan kepada anak buahnya, sambil menyifatkan sokongan peminat tempatan akan turut memainkan peranan penting kepada prestasi skuad muda negara. – Bernama.

Komen anda