Olahraga Terbuka Malaysia: Raja pecut Sukma, Aqil bawa misi penting

136
FOTO: SELANGOR KINI

Raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Muhammad Aqil Yasmin mahu mendapatkan semula catatan 10.39 saat (s) bagi acara 100 meter (m) yang direkodkannya pada temasya itu September tahun lalu menjelang Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia dari 30 hingga 31 Mac ini.

“Saya menyasarkan untuk mendapatkan tempat pada Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini buat kali pertama. Jadi untuk layak ke sana, kami akan dinilai pada GP Terbuka Malaysia.

“Saya akan cuba mendapatkan catatan masa pada SUKMA lalu dan jurulatih (Simon Lau) sudah pun merancang program bagi saya sebelum ke GP nanti,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran kedai barangan sukan Erke di Melawati Mall.

Pada September tahun lalu, Aqil juga memperbaharui rekod kejohanan bagi acara 200m dengan catatan 21.01s, sekali gus memadam pencapaian jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan.

Aqil yang belum pernah mewakili negara di pentas Sukan SEA mengakui saingan sengit untuk ke temasya itu apabila perlu bersaing dengan pelari pecut lebih senior seperti Khairul Hafiz dan juga Jonathan Nyepa.

Untuk rekod, Aqil, 19, disenaraikan sebagai pelari simpanan dalam kuartet 4x100m negara pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah Urusan Erke Malaysia, Datuk Michael Lim berkata, biarpun pelancaran itu adalah perasmian bagi kedai jenama Erke sulung di Malaysia, namun jenama sukan tersebut bermula sejak 2000 dan sudah memiliki 7,000 kedai di 40 negara seluruh dunia.

“Jenama Erke menawarkan pelbagai produk sukan selesa dipakai dan juga harga mampu milik oleh orang ramai,” katanya.

Mengenai kemungkinan kerjasama dalam menaja atlet negara seperti Aqil, Michael berkata, pihaknya akan berbincang mengenai perkara itu.

Komen anda