Oltmans: Masa terbaik mantapkan kekuatan mental, perkasa daya saing

66
Roelant Oltmans

PEMAIN Malaysian Tigers diminta mempertingkatkan daya saing dan membina keyakinan diri semasa mengikuti siri Jelajah Eropah bermula 25 Julai ini.

Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans berkata, walaupun bakal berdepan dengan beberapa perlawanan sengit dalam siri jelajah tersebut namun beliau menuntut semua pemain menampilkan aksi terbaik masing-masing sebelum berdepan ujian sebenar pada pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan.

”Saya sudah menyatakan beberapa kali sebelum ini bahawa kekalahan adalah lebih daripada kemenangan pada siri jelajah ini tetapi mahu memastikan kita sentiasa berdaya saing untuk mampu memperoleh keputusan yang baik.

“Sebab itu siri jelajah ini begitu penting,” katanya pemberita ketika ditemui pada sesi latihan skuad Malaysian Tigers di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Skuad negara seramai 20 pemain akan berlepas ke Eropah, Ahad ini, untuk mengadakan aksi persahabatan menentang Jerman di Krefeld pada 25 Julai ini sebelum ke Terassa bertemu Sepanyol, empat hari kemudian.

Selepas itu, skuad negara akan bermain pada Kejohanan Empat Penjuru dengan England, Ireland dan Sepanyol dari 1 hingga 4 Ogos diikuti aksi persahabatan bertemu Belanda di Breda (6-8 Ogos) sebelum melengkapkan Jelajah Eropah menentang juara Piala Dunia 2018, Belgium di Antwerp (9-12 Ogos)..

Selepas ke Eropah, Malaysian Tigers akan menguji venue Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, menentang Jepun, Australia dan New Zealand dari 19 hingga 23 Ogos sebelum persiapan terakhir dijalankan dengan menentang Korea Selatan di Seoul pada penghujung September.

Antara pasukan yang mungkin bakal dihadapi skuad negara pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 nanti adalah Jerman, Sepanyol, New Zealand atau Kanada.

Sementara itu, pakar ‘flick’ skuad negara, Muhammad Razie Abdul Rahim berkata mereka menjalani latihan keras sepanjang tiga minggu lalu terutama dari segi pukulan sudut penalti dan berharap ia dapat memberi kelebihan semasa siri jelajah itu.

”Walaupun prestasi penyerang bertambah baik dari segi melakukan jaringan padang namun kita harap dapat mengimbangi jaringan menerusi lebih banyak percubaan jaringan sudut penalti,” katanya.

Sementara itu, penyerang Mohammad Fitri Saari berkata beliau mahu pasukan itu tidak bergantung kepada beberapa pemain sahaja semasa perlawanan tetapi sebalik belajar daripada kesilapan dan berusaha dengan lebih baik sebagai satu pasukan.

Komen anda