Oltmans puji pemain Malaysian Tigers yang berjaya membuktikan mampu bersaing dengan gergasi hoki dunia

73

PENGENDALI skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans memandang positif kekalahan 4-6 kepada Belanda dalam aksi persahabatan di Breda, Belanda semalam.

Menurutnya, pasukan negara semakin kompetitif untuk bersaing dengan pasukan gergasi selain jentera serangan juga mampu menjaringkan gol dan memberikan cabaran kepada pasukan di ranking ketiga dunia itu.

“Sekali lagi pemain telah melangkah satu tapak ke hadapan dalam pembangunan pasukan dan kami menampilkan satu corak serangan yang baik serta memiliki peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol namun kami dihukum atas hampir setiap kesilapan yang dilakukan.

“Tetapi ia masih satu persembahan yang baik dan ini jugak menunjukkan kami merupakan pasukan yang semakin mampu untuk bersaing dengan pasukan terbaik di dunia.

“Kami akan meneliti kembali perlawanan hari ini (kelmarin) dan kemudian kami akan memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Empat gol yang dijaringkan oleh kem negara merupakan hasil daripada dua gol padang yang disumbangkan oleh Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-11 dan Faiz Helmi Jali pada minit ke-29 sementara dua gol lagi berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-43 dan Faizal Saari minit ke-56.

Manakala, gol pasukan Belanda dijaringkan Mirco Pruijser minit kedua dan ke-20 sementara Jip Janssen menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-13 dan ke-38. Dua lagi gol merupakan jaringan padang yang dihasilkan oleh Jelle Galema dan Thierry Brinkman, masing-masing pada minit ke-49 serta 51.

Skuad negara akan turun bertemu lawan yang sama untuk aksi ujian keempat mereka malam esok.

Komen anda