Ozil, Kolasinac kembali perkuat Arsenal

16
Ozil (kiri) dan Kolasinac mula menjalani latihan bersama pasukan sejak Rabu lalu.

PENGURUS Arsenal, Unai Emery melahirkan keyakinan Mesut Ozil dan Sead Kolasinac bersedia untuk kembali memperkuatkan The Gunners menjelang pertemuan menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates malam esok.

Ozil dan Kolasinac terlepas aksi pembukaan EPL Ahad lalu atas faktor keselamatan selepas mereka menjadi mangsa terhadap insiden percubaan rompakan kereta di London bulan lalu.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Kolasinac keluar daripada kenderaan untuk berdepan perompak yang bersenjatakan pisau manakala Ozil berada di dalam kereta bersama isterinya, Amine Gulse.

Ekoran insiden itu, Arsenal membuat keputusan untuk merehatkan Ozil dan Kolasinac ketika The Gunners bertemu Newcastle United bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Begitupun, Emery memaklumkan, kedua-dua tonggak utama Arsenal itu sudah mula menjalani latihan bersama pasukan sejak Rabu lalu dan mereka kini bersedia untuk diturunkan.

"Adakah saya gembira mereka kembali? Sudah tentu dan mereka bersedia 100 peratus. Mentaliti mereka sudah kembali bersama pasukan. Mereka sudah menjalani latihan dan bersedia untuk perlawanan sebenar.

"Fokus saya ialah untuk menjadikan mereka lebih positif apabila diturunkan. Saya hanya berharap emosi mereka tidak lagi terganggu dengan insiden tersebut," kata Emery.

Komen anda