Pakar kita harus lebih padu!

337
Faizal Saari antara pakar pukulan sudut penalti Malaysian Tigers.

ZURAIMEE ZAINAL

PAKAR pukulan sudut penalti skuad hoki negara perlu lebih yakin, kreatif dan bijak supaya tindakan penyudah mereka lebih tajam.

Menurut bekas kapten negara, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, ketiga-tiga elemen yang perlu ada dalam diri pakar pukulan sudut penalti negara seperti Muhammad Razie Rahim, Faizal Saari, Najmi Farizal Jazlan dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

“Kita akui skuad negara mampu menyerang dengan baik dan mampu mendapat pukulan sudut penalti tapi paling penting, tugas pakar pukulan sudut penalti adalah untuk deliver ketika situasi skuad negara memerlukan kemenangan atau seri.

“Jadi pakar sudut penalti negara perlu ‘menggali’ lagi dalam diri mereka untuk mencari keyakinan diri ketika situasi memerlukan,” katanya ketika diminta mengulas masalah ketumpulan penyudah pakar pukulan sudut penalti negara menjelang Pusingan Akhir Siri Hoki Dunia bermula di Stadium Hoki Nasionalbukit Jalil mulai 26 April hingga 4 Mei depan.

Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, baru-baru ini, pengendali Malaysian Tigers, Roelant Oltmans mengakui skuad kendaliannya itu banyak mempersia-siakan deretan pukulan sudut penalti yang diperoleh skuad negara.

Ketika tewas 2-4 menentang India pada peringkat kumpulan, skuad negara mendapat sembilan pukulan sudut penalti tetapi hanya satu yang berjaya disempurnakan.

Lebih malang, ketika berdepan Korea Selatan juga di peringkat kumpulan, Malaysian Tigers memperoleh 12 pukulan sudut penalti, namun hanya mampu menyempurnakan satu pukulan sehingga menyaksikan Malaysia tewas tipis 1-2.

Mirnawan berkata, peranan pakar pukulan sudut penalti dalam melaksanakan tanggungjawab pada ketika keadaan pasukan memerlukan gol cukup penting.

“Sebagai contoh ketika skuad negara sedang ketinggalan 1-2, kita memerlukan gol pada ketika penyerang negara berusaha mendapatkan pukulan sudut penalti.

“Di situlah pakar pukulan sudut penalti negara perlu memiliki keyakinan, kebijaksanaan dan kreativiti tinggi dalam deliver tugas mereka.

“Pada Piala Sultan Azlan Shah, kita boleh menjaringkan gol tapi apabila ketika situasi memerlukan, pakar pukulan sudut penalti gagal menterjemahkan dalam bentuk gol.

“Pakar pukulan sudut penalti negara perlu memiliki karakter seperti pemain Korea Selatan, Jang Jong Hyun yang berkali-kali menyelamatkan maruah skuad negara itu setiap kali situasi memerlukan,” katanya.

Komen anda