Pandelela terlepas pingat gangsa Siri Dunia Terjun FINA, Beijing

239

RATU terjun negara, Pandelela Rinong Pamg terlepas pingat gangsa acara 10 meter platform wanita pada pusingan kedua Siri Dunia Terjun FINA di Beijing, China, hari ini.

Penerjun kelahiran Sarawak itu, bagaimanapun menunjukkan peningkatan prestasi berbanding pusingan pertama Siri Dunia di Sagaminara, Jepun baru-baru ini, apabila gagal layak ke final.

Menurut laman web rasmi www.fina.org, pada kejohanan yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Beijing itu, Pandelela mengumpul 330.15 mata selepas lima terjunan.

Beliau berada di kedudukan kelima selepas dua terjunan pertama, namun pada terjunan ketiga, prestasi Pandelela dilihat lebih baik apabila berjaya melonjakkan diri ke tempat keempat.

Namun, Pandelela terpaksa bersaing sengit dengan penerjun dari Kanada, Meaghan Benfeito yang meraih pingat gangsa setelah mengumpul 336.40 mata.

Pingat emas dan perak acara itu didominasi penerjun tuan rumah, China, Zhang Jiaqi (400.05) dan Ren Qian (371.20).

Terdahulu, Pandelela layak ke saingan final selepas mengungguli pusingan separuh akhir A dengan mengumpul 326.95 mata.

Untuk rekod, ini kali kedua Pandelela terlepas pingat gangsa pada kejohanan itu setelah gandingannya bersama Nur Dhabitah Sabri berakhir di kedudukan keempat dalam acara 10m platform seirama wanita pada hari pertama saingan tersebut.

Sementara itu, gandingan Lee Mun Yee dan penerjun muda, Hanis Nazirul Jaya Surya dalam acara 10m platform seirama campuran berakhir di tempat tercorot selepas mengumpul 267.00 mata.

Pingat emas acara itu diraih penerjun China, Si Yajie/Lian Junjie yang mengumpul 346.38 mata, diikuti penerjun Rusia, Nikita Shleikher/Iuliia Timoshinina (301.26) dan Meaghan Benfeito/Nathan Zsombor-Murray dari Kanada (300.96) di tempat ketiga.

Komen anda