PBJ sepakat tolak Bibi Ramjani

344
Kamarudin Mohamad

RIFQIE RUZAIEN

TUJUH ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dijangka mengemukakan desakan secara rasmi bagi membolehkan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan untuk memilih presiden baharu badan induk itu.

Perkembangan terbaharu itu didedahkan Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah, Kamarudin Mohamad yang menyatakan pihaknya sudah mencapai kata sepakat mahu Bibi Ramjani Ilias Khan segera berundur daripada jawatan presiden itu.

“Bila ada lebih daripada lima PBJ, bererti KAFA kena buat EGM. Sekarang tujuh daripada 10 PBJ bersetuju, ini sudah memadai, macam undi tidak percaya kepada Bibi.

“Kita akan terus memainkan peranan sebagai pendesak. Tujuh PBJ ini akan tandatangani surat supaya KAFA buat EGM, Insya ALLAH selepas Aidilfitri ini,” katanya semalam.

Menurutnya, sekarang masa terbaik PBJ mengemukakan usul berkenaan susulan banyak kerosakan berlaku terhadap bola sepak Kelantan di bawah pentadbiran Bibi Ramjani, sejak dua tahun lalu.

Dalam masa sama, Kamarudin turut menyelar tindakan Bibi Ramjani yang sewenang-wenangnya mahu menyerahkan jawatan nombor satu itu menerusi ‘jalan belakang’ tanpa mengikut perlembagaan persatuan berkenaan.

Menurutnya, tindakan usahawan batik itu yang mahu mana-mana individu bersemuka dengan beliau terlebih dahulu sekiranya berhasrat menerajui KAFA dianggap tidak wajar.

“Bibi kata dia nak beri kalau sesiapa nak ambil jawatan itu. Sebenarnya tak boleh macam tu kerana ini persatuan, bukannya demo (awak) ambillah (jawatan) ganti kawe (saya).

“Kena melalui pemilihan, bukan main ganti macam tu. (Ambil alih) bukan dengan cara mewarisi harta pusaka, kita ada kaedah tertentu, ada saluran betul,” katanya.

Katanya, tindakan Bibi Ramjani yang dikatakan mahu menuntut balik wangnya RM5.3 juta yang digunakan sepanjang mengurus KAFA juga dianggap sesuatu yang tidak masuk akal.

“Saya dengar-dengar betul atau tidak dia nak semula duitnya. Mana boleh macam tu, kalau betul seperti dia kata dah habis sebanyak itu, ia dah jadi liabiliti persatuanlah, bukan hutang perseorangan.

“Ini persatuan bukan seperti kita berniaga, demo (awak) bayar dulu hutang baru boleh ambil (jawatan). Sekarang dah jadi liabiliti, jika persatuan mampu bayar, bayarlah kepada dia. Kita ni berpersatuan, bukan persatuan hak individu,” tegasnya.

Komen anda