PBJ sifatkan keputusan KAFA tepat

51
Kamarudin Mohamad

TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyegerakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi pemilihan presiden dan barisan exco baharu dianggap satu keputusan tepat bagi mengelakkan persatuan itu terus dibelenggu pelbagai masalah.

Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah, Kamarudin Mohamad berkata, EGM tidak harus dilambat-lambatkan selepas Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatannya sebagai Presiden KAFA minggu lalu.

“Kami memuji tindakan KAFA mempercepatkan EGM, jika tidak… tiada siapa yang mengambil tanggungjawab mengurus persatuan dan pasukan.

“Ia satu keputusan pantas dilakukan demi menyelamatkan KAFA dan pasukan daripada terus dibelenggu dengan pelbagai masalah,” katanya semalam.

Sebelum ini, KAFA memutuskan EGM akan diadakan pada 6 Julai depan bagi memenuhi gesaan ahli gabungan persatuan itu untuk memilih presiden dan barisan exco yang baharu.

Kamarudin berkata, susulan itu pihaknya akan menghantar pencalonan sebelum 30 Jun depan untuk dipertandingkan pada EGM kali ini.

“Kami sudah mempunyai seorang calon untuk diangkat pada EGM kali ini yang telah mendapat kepercayaan beberapa PBJ.

“Kami harap calon itu dan calon-calon lain yang dipilih menjadi presiden dapat membawa perubahan walaupun bukan drastik,” katanya.

Menurut Kamarudin, pihaknya turut memuji beberapa individu yang tampil untuk menawarkan diri bagi mengisi ‘kerusi panas’ yang ditinggalkan Bibi Ramjani.

Setakat ini, dua individu sudah menyatakan minat menawarkan diri sebagai Presiden KAFA iaitu Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan usahawan muda, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.

Komen anda