PBSNT umum perletakan jawatan Irfan Bakti

250

 

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengumumkan perletakan jawatan Irfan Bakti Abu Salim selaku ketua jurulatih skuad Terengganu FC (TFC) berkuat kuasa serta merta.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil dalam satu kenyataan rasmi malam tadi.

Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan memberi mandat kepada Penolong Ketua Jurulatih, Mohamad Nafuzi Zain untuk menggalas tugas selaku pengendali pasukan sehingga PBSNT menemui calon jurulatih sesuai bagi meneruskan cabaran baki saingan  Liga Super dan kempen Piala Malaysia.

 

“PBSNT mengadakan satu mesyuarat khas berkenaan prestasi pasukan bagi menilai kelemahan yang berlaku selepas TFC diberi satu tamparan hebat susulan kekalahan 3-5  pada perlawanan menentang PJ City kelmarin.

“Mengakui keadaan semasa pasukan TFC yang tidak menentu, Irfan Bakti dalam mesyuarat khas hari ini (semalam) memanjangkan permohonan peletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih TFC serta merta sebagai mengambil tanggungjawab di atas kemerosotan prestasi pasukan.

“Pihak pengurusan pasukan mengambil kira semua aspek dan bersetuju serta menghormati keputusan  dibuat Irfan Bakti di atas prestasi buruk pasukan.

“Hasrat peletakan jawatan itu diluahkan dengan kerelaan hati beliau dan hal ini akan dimuktamadkan melalui prosedur yang betul,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Tengku Farouk Husin berkata, jasa Irfan Bakti akan sentiasa dikenang kerana sudah menyumbang bakti kepada bola sepak Terengganu.

“Pada 2011, beliau membawa Terengganu menjuarai Piala FA, Naib Juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super seterusnya layak ke saingan AFC 2012 buat pertama kalinya dalam sejarah.

“Kehadiran buat kali kedua pada 2017 merangkul Naib Juara Liga Premier membawa pasukan ke Liga Super 2018 serta Naib Juara Piala Malaysia 2018. Seluruh keluarga besar bola sepak Terengganu tidak harus melupakannya,” katanya.

Sementara itu, PBSNT turut menafikan tohmahan yang menyatakan aksi tidak menentu dan kekalahan memalukan TFC berpunca daripada kegagalan pembayaran gaji kepada pemain.

“Sebagaimana dimaklumkan, PBSNT menaungi TFC 1, TFC 2, TFC 3, TFC 4 dan TFC 5. Pembayaran gaji semuanya dalam tempoh 25 haribulan dan paling lewat 7 haribulan setiap bulan. Selain itu, bonus kemenangan dijanjikan bagi setiap perlawanan diuruskan dengan baik.

“PBSNT amat mengharapkan pasukan TFC kembali bangkit dan cepat memposisikan kedudukan untuk mengharungi cabaran baki saingan liga dan juga kempen Piala Malaysia nanti.

“Dengan keputusan pemilihan Mohamad Nafuzi Zain sebagai pengendali sementara, diharap beliau mampu menjalankan tugas seterusnya membantu pasukan sebaik mungkin,” katanya.

Komen anda