PDRM alih tumpuan

137
Aksi Patrick Ronaldinho Wleh (kiri) selepas menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa pertama. (Foto : FB thecopsfa)

PERSATUAN Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) FA kini memberi tumpuan sepenuhnya pada saingan Liga Premier 2019 selepas gagal melayakkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik bagi perebutan Piala FA 2019.

Memberikan saingan sebelum tewas 2-3 kepada PKNP FC pada pusingan ketiga di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi, anak didik E Elavarasan kini memiliki misi untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Premier.

Bagi Elavarasan, mereka boleh memberikan tumpuan sepenuhnya dalam saingan Liga Premier selepas tewas kepada PKNP FC.

“Kegagalan ini memberikan tumpuan kepada saingan Liga Premier dengan kedudukan kami ketika ini agak kurang baik dan persefahaman serta peningkatan prestasi dikalangan pemain yang semakin berkualiti juga petanda positif buat pasukan,” jelasnya.

Mengulas persembahan anak didiknya, bekas pengendali Felda United dan Melaka United ini melihat kedua pasukan memiliki peluang yang sama untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

“Kami memang tidak mahu kalah begitu juga tuan rumah tetapi mereka memiliki kelebihan pemain dari segi pengalaman, itu yang membezakan kami pada aksi malam ini.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pemain dan mengharapkan mereka melihat keputusan dan aksi malam ini sebagai pengajaran serta pengalaman untuk beraksi lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya.

Untuk rekod The Cops hanya meraih satu kemenangan, dua seri dan lima kekalahan dalam saingan Liga Premier dan berada di kedudukan 10 dengan mengutip lima mata.

Komen anda