Pelan tindakan 50 tahun MFL pacu Liga-M ke tahap baharu

89
FOTO: MFL
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) meletakkan harapan tinggi terhadap Pelan Tindakan 50 Tahun MFL yang bakal dilancarkan tidak lama lagi untuk terus memacu Liga Malaysia (Liga-M) ke satu tahap baharu lebih maju dan berdaya saing.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, pelan strategik 50 tahun MFL itu akan menjadi satu pegangan kukuh kepada badan pentadbir liga tempatan itu yang diterajui Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pengerusi.
Beliau berkata, perancangan jangka panjang yang cukup strategik itu jelas menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa MFL tidak merangka misi dan visi untuk pembangunan Liga-M serta pasukan bertanding.
“Hala tuju MFL akan dibukukan untuk kita merencana perancangan jangka panjang, dan saya fikir Tunku Ismail mahu memastikan perancangan jangka panjang MFL diletakkan dengan jelas sebagai pegangan dan hala tuju buat MFL dan rakan kongsinya.
“Kita tidak mahu jika berlaku perubahan di peringkat pengurusan tertinggi akan menimbulkan ketidakstabilan jika fokus tidak diberikan kepada hala tuju ditetapkan. Ini dilakukan sendiri Liga-J (Liga Jepun) dengan perancangan 100 tahun sejak 1992 terus dikekalkan walaupun apa saja perubahan dan kesukaran timbul,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pada masa sama, Kevin berkata, selepas pelancaran pelan tindakan itu ditangguhkan bulan lalu, pihaknya kini sedang berusaha mencari masa sesuai untuk dilancarkan.
“Pelancaran pelan tindakan ini akan diadakan tidak lama lagi, mungkin selepas Aidilfitri apabila Anggota Lembaga Pengarah bersetuju dengan tarikh ditetapkan.
“Kita sudah bersedia dan akan ketengahkan perancangan kita untuk 50 tahun ini kerana visi TMJ untuk melakukan perkara ini bagi menjadikan MFL sebagai satu badan yang mampu bertahan untuk jangka panjang…jadi visi ini perlu dikongsi semua pihak,” katanya.

Komen anda