Peluang Malaysian Tigers baiki kelemahan

744
Foto: FB MHC

ZURAIMEE ZAINAL

LIMA bulan menjelang kempen kelayakan akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan Roelant Oltmans terhadap skuad bimbingannya Malaysian Tigers selepas muncul naib juara setelah tunduk 2-3 kepada Kanada pada Siri Final FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Bekas pemain hoki negara, Maninderjit Singh berkata, beberapa kelemahan sepanjang Siri Final FIH baru-baru ini perlu diberikan perhatian bekas pengendali India berusia 64 tahun itu menjelang saingan perebutan slot ke temasya berprestij dunia di Jepun berkenaan antaranya keberkesanan formasi 3-2-3-2 yang masih belum lagi memberikan impak positif seperti formasi 4-3-3 sebelum ini.

Tambahnya, bahagian benteng pertahanan negara perlu diperkukuhkan dan diperkemaskan lagi terutama apabila berdepan serangan pantas lawan serta pukulan sudut penalti.

“Struktur pertahanan terlalu rapuh setiap kali counter attack pihak lawan selain deflection gol ini sedikit sebanyak menjejaskan momentum skuad Malaysian Tigers. Bolos 13 gol dari enam perlawanan dengan 70 peratus menerusi pukulan sudut penalti.

“Tanpa kelibat S Kumar yang masih belum pulih kecederaan cabaran mengemudi benteng terakhir pasukan digalas Hairi Abd Rahman dan Hafizuddin Othman masih memerlukan lebih banyak pendedahan bagi memantapkan permainan mereka apabila berdepan perlawanan berprofil tinggi,” kata bekas tonggak pertahanan skuad negara dalam status yang dimuat naik dalam Twitternya kelmarin.

Untuk rekod Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melantik Oltmans, bagi membimbing skuad negara sejak Oktober lalu dengan misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mike dalam kalangan rakan juga berkata, kelemahan penyudah jentera pukulan sudut penalti negara yang kurang memuaskan juga perlu diberikan perhatian serius seperti berlaku pada perlawanan akhir kelmarin yang menyaksikan skuad negara mensia-siakan lima pukulan berkenaan.

“Ketajaman penyudah pukulan sudut penalti masih lagi rendah sekali gus ini menuntut pakar pukulan sudut penalti negara lebih bijaksana dan berkeyakinan setiap kali keadaan memerlukan.

“Pada masa sama komunikasi dalam kalangan pemain senior dan junior dalam padang perlu ditingkatkan bagi memantapkan setiap persefahaman setiap bahagian jentera pasukan.

“Semangat kerjasama berpasukan perlu dimantapkan berbanding kemahiran mengelecek lawan,” katanya yang turut berharap pukulan penalti strok skuad Malaysian Tigers dipertajamkan selepas skuad negara gagal menyempurnakan dua penalti strok yang sememangnya boleh mengubah keputusan ketika menentang Kanada kelmarin.

Pada masa sama Maninderjit berkata, skuad negara memerlukan pemimpin di atas padang untuk membarakan semangat pemain lain sekali gus memberikan impak kepada lawan dalam setiap perlawanan.

Komen anda