Peluang Serdang BC kembali terbuka

212
Muhd Shaqeem Eiman Shahyar adalah antara pemain muda berpotensi dalam Serdang BC. Dia menang 3-1 (11-7, 11-7, 4-11, 11-10) ke atas Ooi Jhy Dar dari Bandar Maharani BC.

**media[149368]**
KELAB Badminton Serdang (Serdang BC) kembali menghidupkan peluang untuk mara ke Pusingan Akhir SS Purple League (SSPL) 2018/19 selepas menewaskan Bandar Maharani BC 12-4 dalam perlawanan peringkat kedua SSPL Kumpulan A di Gem In Mall, Cyberjaya sebentar tadi.

Kemenangan itu nyata melegakan pasukan Serdang BC kerana mereka semakin kukuh di kedudukan keenam ketika ini.

Ong Ewe Hock selaku Pengurus Serdang BC berkata: “Ya, kemenangan ini adalah baik untuk kami kerana memperoleh 12 mata. Ini adalah petanda positif di permulaan peringkat kedua SSPL dan baki satu lagi perlawanan kami akan terus cuba meraih mata kerana menentang lawan yang agak kental juga.

“Kami pernah menewaskan mereka (Petaling BC) sebelum ini biarpun tidak siapa sangka kami akan memenangi perlawanan tersebut. Seperti biasa, saya akan terus menggunakan pemain-pemain muda untuk mencipta kejutan kerana kami adalah underdog,” kata Ewe Hock.

Pada peringkat kedua SSPL, Petaling BC yang terlepas genggaman slot automatik SSPL diundi bersama Bandar Maharani BC dan Serdang BC dalam Kumpulan A.

Satu lagi saingan peringkat kedua Kumpulan B menyaksikan finalis tahun lalu, Kepong BC bakal membuat perhitungan bersama-sama dua pendatang baru, Bukit Mertajam All Stars BC dan Tebrau City BC.

Keenam-enam pasukan di peringkat kedua SSPL akan menentang lawan dalam kumpulan masing-masing dan kutipan set kemenangan (games won) di peringkat kedua akan ditambah dengan jumlah set kemenangan yang diraih semasa peringkat pertama.

Daripada itu, empat pasukan yang berjaya menempatkan diri di ranking ke-3 hingga ke-6 akan mengiringi Ampang Jaya BC dan Puchong United BC untuk beraksi pada pusingan akhir SSPL.

Peringkat kedua SSPL yang berlangsung dari 11 hingga 13 Januari diadakan di Gem In Mall, Cyberjaya. Pusingan akhir akan berlangsung di Resorts World Genting pada 24 hingga 27 Januari depan.

Komen anda