Pemain bijak manfaat peluang

220
Barisan pemain Melaka United meraikan kemenangan menewaskan Felda United, 6-0. (Foto : FB MelakaUnitedSA)

KETUA Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan melihat kemenangan besar, 6-0 yang diraih anak didiknya berpunca disiplin tinggi dan memanfaatkan peluang terhidang selain kesungguhan memburu kemenangan.

Jelasnya, kemenangan ini hadir tepat pada masanya untuk terus menyuntik semangat barisan pemain menghadapi perlawanan akan datang.

"Tahniah kepada pemain, nampak kesungguhan dan azam mereka yang memang mahukan kemenangan, pemain berdisiplin tinggi dan menyempurnakan peluang yang ada.

"Jika sebelum ini kami berjaya mencipta peluang tetapi tidak menjaringkan gol namun malam ini sebaliknya berlaku apabila enam gol terhasil.

"Walaupun mendahului lawan, pemain tetap fokus sehinggalah tamat perlawanan," katanya.

Mengulas kemasukan Luka Milunovic bersama pasukan, Zainal mengakui kehadirannya memberikan impak buat pasukan dan ia perlu diteruskan.

"Tempoh masa enam minggu Milunovic bersama pasukan semasa latihan sebelum ini memudahkan rakan sepasukan untuk mengetahui corak permainannya, lagi pun dia pernah bersama Melaka United jadi tidak timbul isu keserasian dan saya lihat dia selesa beraksi.

"Rentak seumpama ini perlu diteruskan dan saya mengharapkan pemain bersedia menghadapi perlawanan seterusnya menentang Kedah di tempat lawan," tegasnya.

Pada aksi menentang Felda United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi, tuan rumah berada di hadapan seawal minit keempat hasil jaringan Patrick Reichelt sebelum Safiq Rahim menggandakan gol kedua pada minit ke-25.

Nazrin Nawi turut mencatatkan nama selaku penjaring apabila meledak gol ketiga pada minit ke-35, sebelum Milunovic melengkapkan hatriknya pada minit ke -36, 53 dan 89.

Selepas berakhirnya 13 perlawanan, Melaka United kini berada di kedudukan kelima liga mengumpul 19 mata hasil lima kemenangan, empat seri dan empat kekalahan.

–tamat–

Komen anda