Pemain kena ambil teguran Norza sebagai suatu yang positif – Razif

57
Zii JIa mempamerkan prestasi membanggakan di Basel apabila mara ke suku akhir sebelum tumbang di tangan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota.

ZURAIMEE ZAINAL

LEGENDA badminton, Datuk Razif Sidek menyifatkan teguran Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ekoran prestasi hambar sebahagian pemain negara pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland sebagai suatu yang positif.

Menurut Razif, barisan pemain negara khususnya yang berada di bawah naungan BAM harus segera bangkit, sekali gus memperbaiki prestasi masing-masing menjelang Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun tahun depan.

“Sepatutnya teguran itu sudah lama dibuat, tak bolehlah nak tegur bila sudah dekat dengan kejohanan, baru kita nak tegur… sepatutnya prestasi pemain ditegur dua tiga tahun sebelum ini.

“Apapun teguran itu perlu diambil serius, tidak hanya dalam kalangan pemain-pemain tetapi juga head coach, coach players, coach performance dan semuanya kerana kita masih berada pada takuk lama.

“Harus diingat pesaing-pesaing kita sudah menunjukkan peningkatan ketara berbanding pemain negara kita,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Razif memberitahu, hanya pemain perseorangan negara, Lee Zii JIa yang mempamerkan prestasi membanggakan di Basel apabila mara ke suku akhir sebelum tumbang di tangan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota.

“Secara keseluruhannya, prestasi pemain negara khasnya beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran nyata bellow par yang mana memerlukan tindakan drastik menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Bagi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang cemerlang sehingga ke final Seluruh England sebelum ini, sepatutnya mereka sekurang-kurangnya mara ke suku akhir tetapi lain pula yang berlaku.

“Pada saya, para pemain harus melakukan lebih banyak lagi homework di samping latihan tambahan yang lebih agresif dalam meningkat prestasi permainan mereka selepas aksi hambar di Basel,” ujar bekas jaguh beregu negara itu.

Komen anda