Pemain Lang Merah cemerlang laksana tugasan: Victor Andrag

171
Pemain Kedah, Renan Da Silva Alves cuba menyekat kemaraan pemain PJ City, Mohd Safee Mohd Sali pada aksi Piala FA bertemu PJ City FC di Stadium Darul Aman malam tadi.

PENOLONG Ketua Jurulatih Kedah,Victor Andrag berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemain Lang Merah sehingga membolehkan pasukan itu mara suku akhir Piala FA selepas menewaskan PJ City FC 0-2 pada pusingan ketiga di Stadium Darul Aman di sini, malam tadi.

Pengendali berusia 43 tahun berkata, semua pemain Hijau Kuning berjaya melaksanakan tanggungjawab seperti yang diarahkan selain menunjukkan corak permainan bertenaga menentang kelab berpengkalan di Petaling Jaya itu.

“Sebenarnya permainan tidak berubah berbanding sebelum ini, cuma kita ada pendekatan atau taktikal ‘A’ dan ‘B’.

“Pemain pula tahu bila nak menggunakannya dan nampaknya malam ini pendekatan kita menjadi hingga kita mendapat gol awal yang sedikit sebanyak melunturkan rentak pasukan lawan,” katanya yang mengendalikan pasukan ketika ketiadaan ketua jurulatih Aidil Sharik Sahak yang menjalani kursus kejurulatihan AFC di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih PJ City FC, Leong Hong Seng mengakui, jaringan pemain import dari Brazil, Renan Da Silva Alves itu memberi tekanan kepada pasukannya sehingga menyebabkan tuan rumah berjaya menambah satu lagi jaringan pada minit ke-24 menerusi Mohamad Zaquan Adha Abd Razak.

“Ya…gol seawal minit kedua telah menjejaskan rentak dan keyakinan pemain, namun kita terus berusaha balas balik malangnya di babak kedua permainan, gol kedua Kedah hadir hasil dari kesilapan pemain kita sendiri.

Walaupun kami bangkit dan dapat membuat beberapa kali serangan berbahaya di hujung babak permainan, namun momentum permainan yang tidak berubah dan lebih kepada bertahan menyebabkan pemain tidak dapat membuat penyudah,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan yang turut turut memuji pasukan tuan rumah yang bermain dengan corak permainan yang bertenaga dan yang memaparkan aksi berbeza dalam perlawanan itu.

Komen anda