‘Pemain PKNP FC diingatkan jangan mudah alpa’

96
Foto: FB Pahang FA

ZURAIMEE ZAINAL

BARISAN pemain PKNP FC sekali lagi diingatkan tidak mudah alpa, sebaliknya kekal fokus dalam merealisasikan misi memburu mata penting dalam baki lima aksi Liga Super musim ini.

Peringatan itu disuarakan Ketua Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim bagi mengelak skuad kendaliannya tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

Abu Bakar berkata, pasukan lawan kerap mengambil kesempatan terhadap kealpaan anak-anak buahnya terutama barisan pertahanan sehingga menyebabkan mereka terpaksa berputih mata.

“Kesilapan yang selalu dihukum pihak lawan adalah kealpaan di barisan pertahanan pada awal atau penghujung perlawanan. Begitu juga ketumpulan penyudah jentera serangan kita yang gagal menterjemahkan setiap peluang untuk menjaringkan gol.

“Dua perkara ini sebenarnya harus diperbaiki sekiranya kita berhajat mengutip tiga mata dalam baki perlawanan liga selepas ini,” kata Abu Bakar kepada Sukan Sinar semalam.

Menjelang pertemuan menentang PKNS FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam ini, pengendali berusia 47 tahun itu berkata, anak-anak buahnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi aksi tersebut.

“Kami menyahut cabaran daripada Presiden PKNP secara positif yang mahukan kelab mempertahankan slot Liga Super musim depan dengan menggunakan sepenuhnya baki lima perlawanan terakhir ini.

“Cuma saya berharap para pemain dapat menterjemahkannya dengan meraih tiga mata dalam perlawanan penting ini biarpun kita akui bahawa PKNS akan bangkit memberi tentangan selepas tewas kepada Kedah sebelum ini.

“Pemain-pemain PKNP juga harus menggunakan sepenuh peluang beraksi di laman sendiri untuk memberi tekanan kepada PKNS seterusnya merapatkan jurang mata dengan pasukan lain,” ujarnya.

INFO

Lima perlawanan terakhir PKNP

Pahang 2 – 0 PKNP
PKNP 1 – 1 JDT
Kuala Lumpur 4 – 1 PKNP
PKNP 1 – 1 Selangor
Perak 3 – 1 PKNP

Lima perlawanan terakhir PKNS

PKNS 2 – 3 Kedah
Felda 5 – 4 PKNS
PKNS 3 – 0 PJ City FC
PKNS 1 – 2 JDT
Kuala Lumpur 2 – 1 PKNS FC

Komen anda