Pemain tiada nafsu tambah jaringan

110
Kipre (kiri) menjaringkan gol pertama namun gagal membantu kemenangan pasukan apabila tewas 3-5 di tangan PJFC.

"KAMI bermain bola hanya 45 minit sahaja, lepas itu kita tiada kesungguhan untuk terus memburu gol, tetapi sebaliknya berlaku buat lawan yang meledak lima gol pada babak kedua," jelas Penolong Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nik susulan kekalahan 3-5 skuad bimbingannya pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Jelasnya, gol pertama separuh masa kedua dijaringkan lawan terus memberi tekanan buat pemainnya selain beberapa kesilapan mudah yang dilakukan memberikan ruang kepada lawan.

"Separuh masa pertama segalanya berjalan lancar tetapi berbeza babak kedua, pemain tiada keinginan untuk menambah jaringan gol hanya melihat bola selain beberapa kesilapan kecil yang dilakukan.

"Kami memperoleh tiga gol awal babak pertama begitu juga lawan yang menjaringkan tiga gol dalam tempoh 12 minit separuh masa kedua," ujarnya.

Pada aksi tersebut, tuan rumah mendahului pelawat hasil jaringan Kipre Tchetche pada minit ke-11 sebelum Nabil Ahmad Latpi (m-17) dan pemain berpengalaman Ashari Samsudin selang dua minit kemudian untuk meletakkan TFC selesa didepan pada separuh masa pertama.

Namun PJFC bangkit pada separuh masa kedua dengan lima gol terhasil melalui Elizeu Batista pada minit ke-48, Pedro Henrique (m-56), Washington Brandao (m-57), Zamri Ramli (m-77) dan Henrique sekali lagi meledak gol pada minit 80 untuk melengkapkan malam gemilang The Pheonix.

Mohd turut mengakui tekanan berterusan pada separuh masa kedua merubah corak permainan pasukannya hingga melepaskan lima gol.

"Pelawat menggunakan kelebihan ketinggian yang dimiliki penyerang, kalau kita lihat kebanyakan gol yang terhasil berpunca dari hantaran lintang, saya sendiri tidak boleh bayangkan, mendahului dengan tiga gol namun melepaskan lima gol separuh masa kedua.

"Kami lambat menutup ruang hingga mereka berjaya membuat hantaran lintang dan mengatur gerakan, pemain tidak cuba memberikan saingan kepada lawan," katanya.

Komen anda