Pembinaan fasiliti Sukma 2020 berjalan lancar

134
Mohd Khuzzan Abu Bakar

KESEMUA fasiliti bakal digunakan untuk penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang kini dalam fasa pembinaan dan membaik pulih, berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kesemua kemudahan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun depan.

Katanya, pada masa ini tiada sebarang permasalahan yang timbul dan kesemua projek pembinaan serta membaik pulih fasiliti berkenaan dilaksanakan mengikut jadual.

“Berdasarkan lawatan saya hari ini ke empat lokasi pembinaan fasiliti yang akan digunakan untuk Sukma 2020, menunjukkan perkembangan positif.

“Empat venue tersebut ialah Stadium Tertutup Arena Larkin; Stadium Akuatik, Larkin; Sports City Mount Austin dan Arena Mas, Taman Impian Emas,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Turut sama dalam lawatan tersebut ialah Penolong Pegawai Operasi Sekretariat Sukma Johor Mohd Johari Tarmidi.

Mohd Khuzzan berkata, kerajaan Johor akan sentiasa mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pembinaan dan membaik pulih fasiliti Sukma 2020 siap sepenuhnya.

“Lawatan ke venue Sukma ini juga akan diteruskan lagi ke Velodrom, Medini esok bagi melihat perkembangan pembinaannya untuk digunakan bagi acara berbasikal,” katanya.

Komen anda