Pena bantah HSN guna nama Inggeris

91

PERSATUAN Penulis Nasional Malaysia (Pena) menggesa nama program Malaysia Sports Challenge (MySC) ditukar kepada bahasa rasmi kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Presidennya, Mohamad Saleeh Rahamad berkata, MySC yang sebelum ini dikenali dengan nama Hari Sukan Negara (HSN) program rasmi kerajaan yang sepatutnya menggunakan bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan.

“Mereka seharusnya mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan khususnya menjelang Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-62 pada 31 Ogos ini.

“Nama HSN boleh ditukar kepada Cabaran Sukan Malaysia atau Tantangan Sukan Negara atau sebarang nama lain. Perubahan cara sambutan MySC sepanjang Oktober berbanding dengan HSN yang hanya diadakan sehari bukan alasan yang boleh diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penggunaan bahasa lain boleh digunakan sekiranya ia dilaksanakan di peringkat antarabangsa yang bukan rasmi.

Laporan portal Sukan Sinar.

“Sasaran MySC sebanyak lima juta penyertaan melibatkan semua peringkat umur berbanding HSN yang hanya melibatkan sasaran dua juta peserta tidak ada hak untuk menafikan bahasa Melayu.

“Kerajaan tidak perlu menambahkan suasana kehangatan sedangkan pergeseran antara kaum sudah semakin tegang. Sangat tidak wajar kerajaan mencabar sensitiviti nasionalis lagi,” katanya.

Beliau yang kini berada di China sempena Pesta Buku Beijing 2019, mengulas kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong semalam bahawa penjenamaan semula HSN bertujuan meningkatkan prestijnya dalam kalangan penggiat sukan tempatan dan antarabangsa.

Untuk rekod, HSN mula diperkenalkan pada 2015 yang menjadi inisiatif KBS dalam misi menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.

Komen anda