Penalti Safiq Rahim menangkan MU di Shah Alam

229

 

Melaka United (MU) mengekalkan rentak kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super apabila membenam PKNS FC 1-0 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

 

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Safiq Rahim yang berjaya menyempurnakan penalti pada minit ke-24.

 

Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila gawang mereka diuji seawal minit ke-2 hasil kealpaan barisan pertahanan Melaka United. Mujurlah Khairul Fahmi Che Mat tangkas menyelamatkan keadaan.

 

Bangkit daripada kealpaan itu, Melaka mula mendapat rentak dan hasilnya mereka memperoleh peluang terbaik pada minit ke-12. Sayangnya, tandukan penyerangnya, Casagrande sedikit melewati palang.

 

Pada minit ke-22, pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Melaka selepas Patrick Reichelt dijatuhkan Rodney Calvin.

 

Safiq Rahim yang mengambil sepakan tersebut tenang menyumbang masuk gol pembukaan untuk meletakkan Melaka satu gol mendahului tuan rumah.

 

Melaka hampir-hampir sahaja menambah jaringan pada minit ke-29, namun situasi kelam kabut di depan pintu gol gagal dimanfaatkan barisan serangan.

 

Selepas itu, kedua-dua pasukan rancak berbalas serangan, namun sehingga wisel separuh masa pertama ditiupkan tiada tambahan gol yang terhasil.

 

Bersambung di babak kedua, tuan rumah mula agresif mencari gol penyamaan dan memperoleh peluang terbaik tiga minit selepas perlawanan bersambung.

 

Namun, rembatan Gabriel Guerra berjaya ditepis Khairul Fahmi untuk memberikan sepakan penjuru buat PKNS, bagaimanapun tiada gol yang terhasil.

 

Tuan rumah sekali lagi mendapat peluang keemasan pada minit ke-55 apabila berjaya mengucae-kacirkan kawasan penalti Melaka. Malangnya, percubaan Kpah Sherman hanya lemah dan rembatan susulan Guerra juga tersasar.

 

Melaka dilihat memperlahankan tempo permainan di separuh masa kedua dengan kerap bertahan dan menyerap asakan, sambil sesekali melakukan serangan balas.

 

Strategi itu hampir berhasil pada minit ke-76, malangnya tandukan Casagrande hanya sedikit tersasar.

 

Memasuki 10 minit terakhir perlawanan, Melaka sekali lagi hampir selesa mendahului dua gol apabila pertahanan PKNS tertampan bola ke gawang sendiri.

 

Bagaimanapun nasib menyebelahi tuan rumah apabila penjaga golnya, Muhd Zarif Irfan sempat menepis bola keluar.

 

Tiga minit masa tambahan diberikan di separuh masa kedua dan keputusan kekal 1-0 berpihak Melaka selepas wisel penamat ditiupkan.

 

Komen anda