Penang Black Panthers dapat suntikan semangat DFZ Agency

144
Abd Hafiz (tiga kanan, belakang) bersama tetamu jemputan, pemain Penang Black Panthers dan skuad remaja takraw Pulau Pinang selepas majlis penajaan di sebuah hotel baru-baru ini.

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

DFZ Agency Sdn Bhd tampil meneruskan tajaan buat tahun kedua berturut-turut kepada penyandang juara  Sepak Takraw League (STL), Penang Black Panthers bagi musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, DFZ Agency Sdn Bhd, Abd Hafiz Abd Majid berkata, menjadi satu tanggungjawab seterusnya penghormatan kepada pihaknya kerana dapat meneruskan tajaan bagi pembangunan sepak takraw Pulau Pinang.

“Sebenarnya saya mendapat permintaan daripada negeri-negeri lain untuk membantu pasukan mereka juga namun saya memilih Pulau Pinang kerana ini adalah negeri kelahiran saya.

“DFZ mula mendapat perhatian dalam STL dalam tempoh dua tahun ini selepas serius membantu sukan sepak takraw secara langsung kepada Pulau Pinang termasuk secara tidak langsung di peringkat kebangsaan,”katanya.

Syarikat insurans itu juga masih meneruskan tajaan terhadap  skuad sepak takraw Pulau Pinang yang memasuki tahun kedua  diraikan dalam satu majlis yang turut dihadiri Presiden Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (PESENANG), Datuk Seri Ahmad Ismail dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang,  Frederick Tan.

Sebelum ini syarikat berkenaan turut membantu menaja pasukan takraw negeri Pulau Pinang pada peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sejak empat tahun lalu.

Pada masa sama Abd Hafiz berkata, beliau menerima tanggungjawab sebagai Pengerusi Pembangunan Sepak Takraw Pulau Pinang dan Pengurus Penang Black Panthers pada musim ini disebabkan minat beliau terhadap sukan berkenaan.

DFZ pada majlis itu menyerahkan sebuah kenderaan rasmi kepada skuad sepak takraw Pulau Pinang untuk kegunaan pasukan.

Untuk rekod, Penang Black Panthers juara Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL)  dua tahun berturut-turut sekaligus melengkapkan musim cemerlang  kejuaraan berganda selepas  memenangi kejuaraan STL Premier.

Abd Hafiz (dua, kiri) Ahmad (tiga, kiri) dan Frederick (kanan) bersama kenderaan rasmi yang akan digunakan Penang Black Panthers.

Komen anda