Penempatan atlet badminton selesai pertengahan tahun ini

199

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan proses penempatan 200 atlet badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selesai pada pertengahan tahun ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya masih berunding dengan Kementerian Pendidikan agar proses memindahkan pelajar yang masih bersekolah ke ABM berjalan lancar.

“Kita mahu pelajar di ABM mendapat pendidikan yang sama seperti di sekolah sebelum ini. Cadangannya ialah kita akan bawa cikgu daripada sekolah swasta untuk mengajar di ABM, dengan persetujuan dan pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan.

“Kita mahu pemain boleh terus berlatih selepas sesi pembelajaran mereka. Sistem tersebut juga kita sedang guna pakai di Akademi Mokhtar Dahari,” katanya kepada media selepas sesi Townhall KBS-BAM (Persatuan Badminton Malaysia) di ABM, hari ini.

Syed Saddiq berkata KBS dan BAM perlu mengambil tindakan perubahan yang radikal itu agar pemain boleh ditempatkan di ABM tanpa mengganggu pembelajaran mereka.

Mengulas mengenai peruntukan yang akan diberikan kepada BAM bagi memastikan ABM berjalan lancar, Syed Saddiq berkata beliau akan berbincang mengenai peruntukan kewangan itu pada mesyuarat jemaah menteri nanti.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria  menyambut baik komitmen yang diberikan Syed Saddiq mengenai penempatan pemain di ABM pada pertengahan tahun ini.

Mohamad Norza berkata 130 pelajar ABM adalah meliputi pemain elit dan pelapis negara manakala 70 kekosongan lagi akan dipilih dalam kalangan pemain negeri.

“Di ABM, program adalah secara komprehensif, di mana pemain elit, pelapis dan pemain remaja berada di bawah satu bumbung. Mereka akan berkongsi pengalaman dan sokongan antara satu sama lain dari segi sains sukan dan juga kejohanan besar,” katanya.

Sesi townhall yang dihadiri oleh wakil persatuan negeri dan kelab membincangkan mengenai permasalahan dalam pembangunan sukan badminton dan juga beberapa cadangan untuk membangunkan sukan berkenaan.

Antara cadangan daripada sesi perbincangan itu adalah untuk mewujudkan sesi latihan oleh jurulatih profesional secara percuma kepada pelajar sekolah. – Bernama.

 

Komen anda