Pengalaman dua atlet senior jadi pembakar semangat

81

PEMANAH negara, Muhammad Zarif Shahir mengharapkan pengalaman luas dimiliki dua atlet senior menjadi pembakar semangat bagi dirinya dalam mengharungi cabaran pada Kejohanan Memanah Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda dari 10 hingga 16 Jun ini.

Beliau berharap gandingannya bersama Khairul Anuar Mohamad dan Muhammad Akmal Nor Hasrin akan meraih keputusan terbaik sekurang-kurangnya mara ke suku akhir untuk memastikan mereka layak beraksi pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Muhammad Zarif berkata pada masa ini, skuad trio recurve lelaki dan wanita negara sedang giat menjalani latihan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, selama 10 hari bermula Sabtu lepas, bagi menyesuaikan diri dengan keadaan berangin yang merupakan cabaran utama apabila beraksi di Belanda nanti.

“Sememangnya saya teruja untuk beraksi pada Kejohanan Dunia itu dan akan berusaha sedaya upaya  membantu pasukan melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya ketika ditemui di Padang Memanah UniSZA, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nur Afisa Abdul Halil yang pertama kali  mewakili negara pada kejohanan itu, berkata skuad recurve wanita, tekad melepasi sekurang-kurangnya peringkat suku akhir di Belanda, seterusnya layak ke Sukan Olimpik 2020.

Beliau berkata trio memanah recurve wanita yang turut dianggotai pemanah senior, Nur Aliya Ghapar dan Loke Hui Sin berharap dapat melakar sejarah dengan menjadi pasukan wanita pertama negara layak ke Sukan Olimpik.

“Selepas meraih tempat keempat dalam acara individu pada Piala Dunia 2019 di Shanghai, China, awal bulan ini,  saya semakin bersemangat untuk membantu pasukan layak ke Olimpik.

“Sekarang latihan di UniSZA berjalan lancar dan ia umpama simulasi untuk kami bersedia menghadapi cuaca berangin di venue sebenar di Belanda nanti,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Lee Jae-Hyung berkata, beliau akan menggunakan sepenuhnya baki empat hari di UniSZA untuk meningkatkan latihan bagi memastikan atlet benar-benar dapat menguasai teknik dan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca berangin.

“Sepanjang seminggu di sini, baru tiga atau empat hari kita dapat cuaca yang betul-betul berangin pada sebelah petang dan malam.

“Jadi dengan baki masa yang ada, kita harap atlet dapat menyesuaikan diri dengan cepat kerana suhu di Belanda nanti sejuk antara lima dan 18 darjah celsius yang pastinya sedikit sebanyak akan mengganggu prestasi mereka,” katanya.

Komen anda