Pengalaman lalu matangkan Red Ants

65

SETIAUSAHA Agung Kelab Bola Sepak PKNS (PKNS FC), Md Adi Harmizi Ariffin mengakui pengurusan kini lebih bersedia dalam soal peraturan khususnya membabitkan pendaftaran sebelum bermula Liga Malaysia musim ini.

Menurutnya, pengalaman lalu mengajar PKNS FC yang mana Adi optimis mereka kini berada dalam landasan terbaik menjadi kelab yang lebih baik pada depan.

Tahun lalu, PKNS FC antara satu daripada 10 pasukan dikenakan denda berikutan kegagalan melengkapkan pendaftaran pada tarikh ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pada awalnya, PKNS didenda RM1.5 juta atas kesalahan itu tetapi selepas mengemukakan rayuan, MFL mengurangkan denda kepada RM500,000.

Beliau mengakui hukuman yang dikenakan pada musim lalu itu telah memastikan PKNS sentiasa dalam keadaan lebih bersedia dan tersusun di mana pihak pengurusan Semut Merah itu sentiasa berusaha keras meningkatkan profesionalisme.

“Manusia tidak terlepas melakukan kesilapan tetapi kesilapan tahun lalu telah banyak memberikan pengajaran berguna kepada PKNS. Tahun lalu kami dikenakan denda (RM500,000) kerana kegagalan melengkapkan pendaftaran pasukan.

“Saya tidak berminat buka kembali cerita lama tersebut tetapi musim ini, kami bersedia mematuhi peraturan ditetapkan MFL khususnya babitkan pendaftaran pasukan.

“Musim ini PKNS menubuhkan satu pasukan khas untuk menjaga, menilai dan kemas kini setiap dokumen bagi pendaftaran pasukan di mana tugas mereka memastikan PKNS sentiasa mematuhi peraturan dan tidak melanggar tarikh akhir yang ditetapkan oleh MFL,” katanya.

Komen anda