Pentas terjun tidak ketandusan bakat

62

Berbicara mengenai acara terjun, mungkin hanya beberapa nama atlet negara yang muncul di fikiran peminat sukan tanah air.

Sepertimana badminton sering dikaitkan dengan legenda perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, sukan terjun pula lebih sinonim dengan nama seperti Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri.

Mana tidaknya, kesemua atlet terjun tersohor tanah air itu sering mengharumkan nama Malaysia pada kejohanan antarabangsa, malah mereka berjaya melunaskan tanggungjawab dengan menyumbangkan pingat untuk negara.

Persoalannya kini, sama ada sukan terjun sedang melalui fasa sama seperti badminton yang masih belum menemui pengganti Chong Wei yang bersara pada 13 Jun lalu.

Ketika diajukan tentang perkara berkenaan, Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Seri Shahidan Kassim, bagaimanapun menafikan negara ketandusan bakat dalam sukan terjun.

Beliau menjelaskan ASUM tidak terlalu bergantung kepada dua ratu terjun negara, Pandelela dan Jun Hoong untuk dipertaruhkan di pentas antarabangsa.

“Tidak boleh kata kami terlalu bergantung kepada Pandelela dan Jun Hoong, kita masih ada Nur Dhabitah dan Kimberly Bong serta beberapa penerjun lain…mereka juga tunjuk peningkatan prestasi yang cukup baik dan setaraf dengan penerjun senior.

“Dari segi umur, mereka berdua masih muda…sekarang pun dah bagus, pada masa hadapan boleh pergi jauh. Kita ada penerjun untuk digilap bakat mereka, cuma perlukan masa,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Gandingan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong merupakan penyumbang pingat utama buat skuad terjun negara di Siri Terjun Dunia FINA pada 2018 dalam acara 10m platform seirama wanita, dengan pencapaian satu emas, satu perak dan dua gangsa.

Pada 2017, mereka menghadiahkan satu pingat perak dan satu gangsa diikuti gandingan Pandelela dan Nur Dhabitah menyumbang satu perak, dalam acara sama.

Ketika pencapaian skuad terjun negara menjadi tanda tanya selepas lima siri tahun ini, mujur Nur Dhabitah menjadi penyelamat apabila muncul sebagai penyumbang pingat tunggal negara.

Atlet berusia 19 tahun itu menghadiahkan satu pingat gangsa dalam acara 3m papan anjal wanita di London, Mei lalu.

Tahun ini menyaksikan Pandelela hanya beraksi dalam tiga siri (Jepun, Beijing dan Kanada) sementara juara dunia, Jun Hoong pula tidak menyertai jelajah itu ekoran mengalami kecederaan.

Ternyata tanpa kelibat kedua-dua penerjun itu, skuad terjun negara dilihat sukar untuk meraih kejayaan.

Sebelum ini, ASUM menegaskan Kejohanan Terjun Dunia yang akan berlangsung pada Julai ini di Gwangju, Korea Selatan menjadi fokus utama mereka, dengan kejohanan tersebut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun berdasarkan prestasi di Siri Terjun Dunia musim ini, adakah penerjun negara mampu merealisasikan impian menghadirkan pingat emas pertama kepada Malaysia pada Sukan Olimpik

Jurulatih penerjun negara, Christian Brooker menegaskan bahawa banyak lagi perlu dilakukan skuad negara sebelum dapat meletakkan asaran pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Buat masa ini kami sedang fokus untuk melayakkan diri merebut kuota Tokyo dan meningkatkan keyakinan diri para atlet. Fokus kami kini ialah untuk melayakkan diri untuk memperoleh kuota ke Sukan Olimpik dalam acara perseorangan dengan menduduki tempat ke-12 teratas pada Kejohanan Dunia,” kata beliau.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad terjun negara pada Sukan Olimpik adalah menerusi pasangan Pandelela-Jun Hoong yang meraih pingat perak acara 10m platform seirama wanita di Rio 2016.

Terdahulu, Pandelela menjadi atlet wanita pertama negara memenangi pingat pada temasya sukan terbesar dunia itu apabila meraih gangsa dalam acara 10m platform wanita pada Sukan Olimpik London 2012.

Komen anda