Penyokong Gergasi Merah diminta bertenang, Selangor diyakini mampu atasi Kuala Lumpur

695

Foto: FA Selangor

BEKAS  ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Ariffin Abd. Hamid meminta kelab penyokong Selangor bertenang dan cuba memberikan peluang lagi kepada skuad Red Giants yang kini masih bergelut mencari kemenangan sulung Liga Super musim ini.

Katanya, skuad bimbingan B. Sathianathan diyakini mampu bangkit pada pertembungan jiran Lembah Klang dengan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini sekali gus mengotakan misi mesti menang itu.

“Saya menyokong penuh titah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Presiden FAS, baru-baru ini yang tetap melihat banyak kemajuan prestasi pasukan biarpun hanya memungut tiga mata setakat ini.

“Inilah juga masa terbaik untuk semua pihak termasuk semua penyokong Merah Kuning mendukung semangat bersatu dan kebersamaan demi kepentingan pasukan. Jangan cepat hukum individu tertentu dalam pasukan seperti jurulatih dan pemain.

“Sentiasa juga fikirkan yang positif dan mungkin pasukan kita musim ini perlukan sedikit masa untuk bangkit memulihkan kedudukan Liga Super,” katanya.

Ariffin mengulas prestasi Selangor yang turut dianggapnya masih positif bagi lima perlawanan lalu apabila hanya seri dengan Felda United, PJ City dan Pahang namun tewas aksi selebihnya kepada PKNS 4-0 dan Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-2.

Namun tegasnya, skuad Sathianathan juga perlu mengukuhkan kembali keyakinan dan membalas sokongan penyokong dalam ‘misi mesti menang’ pertembungan jiran Lembah Klang dengan Kuala Lumpur itu.

“Selepas ini mereka akan menentang Melaka jadi saya harap balaslah kepercayaan penyokong itu dengan tiga mata di Cheras (gelanggang Kuala Lumpur walaupun tuan rumah bukan lawan mudah.

“Saya percaya Sathianathan antara jurulatih terbaik di Malaysia selain memenangi banyak kejuaraan tempatan malah pengalamannya bersama pasukan kebangsaan pasti mampu dimanfaatkan,” katanya.

Komen anda