Penyu kempunan guna khidmat Luis Gustavo Camilo

53

HASRAT penyokong Terengganu melihat pemain pertahanan import baharu dari Brazil, Luis Gustavo Camilo beraksi bersama Terengganu FC (TFC) pada baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini mungkin tidak kesampaian.

Ia berikutan kegagalan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agungnya, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil berkata, badan induk bola sepak dunia itu tidak dapat mengeluarkan sijil tersebut memandangkan permohonan dibuat PBSNT dilakukan pada saat akhir jendela perpindahan ditutup.

“Keputusan untuk menukar pemain import juga dilakukan pada saat akhir oleh PBSNT.

“Kalau ikutkan, permohonan (mendapatkan) ITC (oleh PBSNT) dibuat ketika masih dalam tempoh jendela perpindahan sedangkan menurut FIFA tempoh itu sebenarnya sudah ditutup,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Hotel Primula, di sini semalam.

Tengku Farouk berkata, PBSNT sudah mengemukakan rayuan pertama kepada FIFA melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini namun ditolak.

Susulan itu, rayuan kedua dikemukakan dan PBSNT berharap akan menerima jawapan positif daripada FIFA bagi membolehkan Camilo yang mendapat jolokan ‘The Tanker’ beraksi bersama TFC.

“Semua prosedur perpindahan sudah kita penuhi sebelum ini, dan hanya menanti ITC sebelum dapat menurunkan Camilo.

“Kita harap FAM dapat membantu menyelesaikan perkara ini kerana khidmat Camilo amat diperlukan bagi mengukuhkan pertahanan Terengganu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang berhubung dengan pihak pengurusan kelab Ferroviaria di Brazil bagi membincangkan kedudukan Camilo sekiranya keputusan FIFA itu nanti tidak berpihak kepada PBSNT.

Komen anda