Peranan penaja mampu atasi pembayaran gaji

60
DSC_7774 copy

PENYERANG skuad Bawah 23 Tahun negara (B23) Hadi Fayyadh Abdul Razak menyifatkan peranan penaja yang aktif dalam sesebuah pasukan banyak membantu dari segi pembayaran gaji kepada pemain lapor SUBKHI SUDARJI.

Hadi yang kini berkelana membina karier bersama kelab Jepun yang beraksi dalam liga kedua, Fagiano Okayama mengakui tidak mendengar isu kelewatan pembayaran gaji kepada pemain-pemain yang beraksi dalam saingan Liga Jepun ketika ini.

“Pada pandangan saya, antara faktor yang membantu pasukan di sini stabil dan berjaya adalah semuanya kerana penaja. Penaja di sini begitu banyak dan pasukan memiliki unit tertentu untuk mendapatkan tajaan.

“Kehadiran penaja sememangnya membantu pasukan di sini dan difahamkan, jumlah penajaan adalah tinggi. Mungkin ini antara sebab pasukan di sini tidak berdepan masalah dan pasukan Liga M boleh mencontohi apa yang pasukan di sini lakukan dalam mencari penaja untuk menstabilkan kewangan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan Fagiano Okayama di Padang Latihan Masada, Jepun petang tadi.

Hadi yang kini berusia 19 tahun turut bersimpati dengan masalah terpaksa diharungi pemain dalam saingan Liga Malaysia(Liga M).

“Saya rasa simpati dan kasihan kepada pemain yang menjadi mangsa keadaan dan tidak mendapat gaji. Ini membuatkan saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar buat saya sepanjang berada di sini.

“Saya harap ini ini dapat diselesaikan dengan baik dan cepat untuk membantu mereka yang terjejas. Semoga perkara sebegini tidak akan diulangi pada masa akan datang,” katanya yang bersemangat untuk untuk terus membina karier di negara Matahari Terbit itu.

Untuk rekod, sebelum ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail mendedahkan beberapa pasukan masih mempunyai tunggakan gaji kepada para pemain sehingga mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.

PFAM juga yakin jika isu itu gagal diselesaikan, industri bola sepak negara tidak mampu untuk bergerak ke arah Pelan Hala Tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), F30 mahupun NEX50.

Komen anda