‘Perjalanan kami masih panjang’  – Aaron Chia-Wooi Yik

123
Pemain badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia Teng Fong mengakui perjalanan bersama gandingannya, Soh Wooi Yik untuk meletakkan diri mereka setanding jaguh dunia lain masih panjang.

Biarpun mencipta kejutan menewaskan beberapa beregu terbaik dunia dalam laluan mereka ke final Seluruh England 2019, Aaron berkata, segala usaha dan kejayaan tidak hadir dalam satu malam.

“Secara keseluruhan untuk All England kami gembira dengan pencapaian ini, tetapi jurulatih memberitahu bahawa ini hanyalah satu permulaan kerana apa yang utama bermula bulan Mei ini (kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020).

“Perjalanan itu masih panjang, kami masih perlu bekerja keras dalam latihan untuk tingkatkan prestasi, selain berfikiran lebih jauh dalam usaha menjadi yang terbaik,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam kelmarin.

Aaron-Wooi Yik yang menduduki kedudukan ke-15 dalam ranking dunia tewas 21-11, 14-21, 12-21 kepada pasangan berpengalaman Indonesia yang juga juara edisi 2014, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi final di Arena Birmingham, Ahad lalu.

Bagaimanapun, kejayaan itu boleh dianggap membanggakan apabila mereka muncul satu-satunya wakil negara beraksi di pentas final selepas semua wakil negara terkandas di peringkat lebih awal.

Sementara itu, Wooi Yik berkata, penyertaan sulung mereka dalam kejohanan berprestij itu memberinya pengalaman berguna selain membantun menjadi seorang pemain lebih matang.

“Kami jumpa dengan beberapa gandingan hebat dunia dalam laluan ke final bermula dari pusingan pertama. Jadi ia mengajar kami macam mana nak kawal emosi di pentas besar seperti All England dan ia juga beri kami motivasi untuk menjadi lebih baik.

“Setiap kali turun beraksi, kami mempelajari banyak perkara baharu. Semua yang kami lalui di sana (Birmingham) memberi tambahan motivasi kepada kami untuk lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara beregu lelaki adalah pada edisi 2007 menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Komen anda