Harimau Muda kena menang semua baki perlawanan

6925

KEMENANGAN ke atas Laos dan China perlu diterjemahkan skuad B23 tahun negara jika barisan pemain Datuk Ong Kim Swee itu gagal memperolehi kelebihan gol berdasarkan keputusan yang diraih ketika membenamkan cabaran Filipina dengan keputusan 3-0 pada aksi pembukaan Kumpulan J dalam kempen Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2020 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Bagi Kim Swee, kemenangan 3-0 ke atas Filipina kini meletakkan pasukannya ditangga kedua manakala China menunggulu Kumpulan J meskipun berkongsi tiga mata selepas skuad kendalian Guus Hiddink terlebih dahulu menundukkan Laos 5-0.

“Seperti saya katakan jika sampai ke tahap kita perlukan kemenangan untuk layak pastinya pasukan perlu lakukan.

“Kalau kita tidak dapat jumlah jaringan yang besar yang penting kita dapat tiga mata untuk setiap perlawanan.

“Sebelum perlawanan lagi saya dah katakan kita perlukan kemenangan kerana tiga mata melebihi segalanya kerana itu yang lebih mustahak,” katanya selepas perlawanan.

Pada perlawanan tersebut , skuad B23 negara bermula dengan cemerlang apabila Muhammad Akhyar Rashid meledak gol pertama seawal minit ketiga perlawanan sebelum jaringan keduanya terhasil pada minit ke-30.

Memasuki babak kedua, kemasukan Mohamad Faisal Halim bagi menggantikan Akhyar berjaya menambah derita Filipina apabila sentuhannya mampu melengkapkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-83 perlawanan.

Namun pada masa sama, Kim Swee masih kecewa dengan barisan serangannya apabila gagal memanfaatkan peluang dengan sempurna bagi memberikan kelegaan buat pasukan menerusi jumlah jaringan.

“Saya masih kecewa kerana banyak peluang yang terhidang tapi pemain gagal untuk menterjemahkannya dalam bentuk gol.

“Saya perlu membawa keluar Hadi Fayyadh kerana pasukan masih mempunyai tiga penyerang di bangku simpanan untuk diberikan peluang.

“Apabila Faisal Halim masuk dia berjaya mendapatkan satu gol sementara Nik Azli Alias mencipta tiga atau empat peluang dalam tempoh 30 minit sahaja dan itulah yang saya mahukan kerana di peringkat ini perbezaan gol amat penting,” ujarnya.

Komen anda