Permulaan baharu Honda di Brno

71
Puig (kanan) menaruh keyakinan Marquez mampu meneruskan prestasi terbaiknya sebaik perlumbaan MotoGP kembali bersambung di Republik Czech bulan depan.

PASUKAN Honda enggan menjadikan kelebihan mendominasi perlumbaan MotoGP 2019 di kedudukan teratas ketika ini sebagai satu kelebihan buat mereka sebaliknya bertekad untuk terus memberikan aksi terbaik sehingga ke penamat.

Pengurus pasukannya, Alberto Puig berkata, Marc Marquez yang kini mengungguli kedudukan pelumba dengan 185 mata tidak akan dikira sebaik perlumbaan MotoGP bersambung kembali selepas rehat musim panas nanti.

Sebaliknya, Puig mengatakan Marquez dan Honda akan memulakan perlumbaan dengan semangat baharu pada MotoGP Republik Czech bulan depan tanpa mengorbankan kelebihan dimiliki ketika ini dalam usaha memaksimumkan musim 2019 serta pembangunan jentera RC213V.

"Kami sentiasa memandang masa depan dan terus berusaha ke arah itu. Kami sentiasa berusaha memperbaiki setiap kelemahan dengan mengambil kira objektif yang sama untuk permulaan di Litar Automotodrom Brno nanti dengan kemenangan sebagai sasaran utama.

"Jadi kami perlu pergi ke Brno dengan permulaan baharu tanpa sebarang kelebihan mata dan berusaha memburu kemenangan," katanya.

Sementara itu, Piug turut memuji prestasi terbaik Marquez apabila menamatkan perlumbaan ke-10 di Sachsenring, Jerman dengan kemenangan selepas sekadar meraih kedudukan kedua di MotoGP Belanda hujung bulan lalu.

"Marc adalah jaminan dalam trek ini (Brno) kerana dia menang hampir setiap tahun dengan Honda di sini. Ini tidak bermakna dia boleh berehat, tetapi hasilnya meningkatkan keyakinan kami.

"Sudah jelas bahawa dia kini benar-benar memahami titik trek di mana dia boleh atau tidak boleh mengambil risiko. Bagaimanapun perlumbaan tetap perlumbaan dan anda boleh terhempas bila-bila masa di mana-mana trek. Namun kami tetap mempunyai perancangan yang baik dan perasaan positif terhadap Marquez, " jelasnya.

Sehingga kini Marquez telah berjaya menamatkan perlumbaan sama ada di tempat pertama atau kedua sepanjang kempen MotoGP 2019 kecuali ketika perlumbaan di MotoGP Amerika Syarikat apabila juara dunia itu gagal menamatkan saingan selepas terhempas ketika memimpin perlumbaan disebabkan isu teknikal pada jenteranya.

Komen anda