Persiapan skuad B-22 tempang

230

PERSIAPAN skuad Bawah 22 Tahun negara menghadapi Kejuaraan B-22 AFF 2019 di Phnom Penh, Kemboja bermula 17 hingga 26 Februari ini tempang selepas lima pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat tidak dilepaskan majikan masing-masing.

Muhammad Danial Amier Norhisham, Muhammad Zahril Azri (Felda United), Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor) dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah) antara beberapa pemain yang tidak dilepaskan bagi menjalani latihan pusat bermula semalam.

Situasi ini nyata membimbangkan pengendali B-22, Datuk Ong Kim Swee yang menyifatkan posisi tengah pasukan sedikit pincang selepas kehilangan Danial Amir, Mohd Zahril dan Mohd Faisal.

“Kami terima surat dari beberapa kelab yang mengatakan pemain mereka tidak dilepaskan iaitu Selangor, Felda United, Kedah dan Pahang.

“Daripada 26 senarai pemain yang dipanggil dan lima tidak dilepaskan agak merunsingkan terutamanya bahagian tengah, kini kami hanya memiliki Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhammad Danial Haqim Draman.

“Saya perlu fikirkan pengganti, mungkin akan panggil tiga lagi pemain untuk mengisi kekosongan posisi tersebut.

“Kelayakan Piala AFC lebih penting, tujuan saya panggil pemain untuk pastikan mereka isi slot-slot tertentu, dari 26 pemain yang dipanggil dan lima tidak dilepaskan agak sukar.

“Harap pemain yang dipanggil menyertai skuad kali ini dapat buktikan mereka boleh isi kekosongan yang ditinggalkan dan kita harus berusaha untuk dapatkan keputusan yang lebih baik,” jelasnya ketika ditemui media pada seisi latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, semalam.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja pada 18 Februari diikuti Indonesia (20 Februari) dan Myanmar (22 Februari).

Dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke separuh akhir pada 24 Februari dan aksi final pula dijadualkan pada 26 Februari. Semua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional, Phnom Penh.

Komen anda